Berita Utama

Istilah tepat God dalam bahasa Melayu Tuhan, bukan Allah

Jika nak sangat guna dalam BM, terjemahkan kepada Tuhan

Oleh Muhammad Danial Haziq

BANGI, 15 Zulkaedah 1444H, Ahad – Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam bagi tujuan pembelajaran atas alasan mahu menggunakan bahasa Melayu sangat tidak masuk akal kerana kalimah suci tersebut bukan perkataan Melayu.

Mantan Presiden gerakan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, tiada pihak yang pernah mengatakan kalimah suci Allah itu adalah perkataan daripada bahasa Melayu.

“Sekiranya mereka betul nak menggunakan bahasa Melayu, mereka terjemahkan God kepada Tuhan, bukan kepada Allah.

“Tidak ada siapa mengatakan Allah itu perkataan bahasa Melayu, dan perkataan yang lebih tepat dalam bahasa Melayu kepada God adalah Tuhan.

“Tapi kenapa mereka nak spesifik menggunakan perkataan Allah?,” soal beliau ketika memberikan kuliah maghrib di Masjid Tengku Ampunan Jemaah Bukit Jelutong, Shah Alam.

Terdahulu, KDN dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 18 April lalu.

Selepas dikritik, Anwar memaklumkan, penggunaan kalimah Allah hanya terpakai oleh penganut agama Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan, dan tidak terpakai di negeri-negeri lain.

Pada masa sama, Jemaah Menteri membentangkan kepada Majlis Raja-raja cadangan kerajaan untuk memperkukuh dasar berhubung penggunaan kalimah Allah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button