Perang Ukraine: Hampir 1,000 kanak-kanak terbunuh, cedera
UNICEF percaya jumlah sebenar jauh lebih tinggi

NEW YORK, 25 Muharam 1444H, Selasa – Hampir 1,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan terbunuh atau cedera dalam perang di Ukraine, lapor Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin.
Justeru, Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell menekankan mengenai keperluan mendesak untuk segera mencapai keamanan di negara konflik itu.
“Sekali lagi, seperti dalam semua peperangan, keputusan melulu orang dewasa meletakkan kanak-kanak kepada risiko yang melampau.
“Tiada operasi bersenjata seperti ini yang tidak mengakibatkan kanak-kanak menjadi mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Pencerobohan Russia ke atas Ukraine bermula hampir enam bulan lalu dan UNICEF telah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya 972 kanak-kanak terbunuh atau cedera akibat keganasan itu.
Ia didakwa mewakili purata lebih lima kes sehari, namun Russell percaya bahawa bilangan sebenar adalah lebih tinggi.
Beliau berkata, kebanyakan kanak-kanak terkorban akibat penggunaan senjata letupan – yang tidak mendiskriminasi antara orang awam dan pejuang terutamanya di kawasan berpenduduk seperti Mariupol, Luhansk, Kremenchuk dan Vinnytsia.
Sementara itu, hampir setiap kanak-kanak di Ukraine terdedah kepada peristiwa yang sangat menyedihkan.
Ini kerana, mereka melarikan diri daripada keganasan dan berisiko besar berdepan berpisah dengan keluarga, penderaan, eksploitasi seksual, serangan serta pemerdagangan.
Russell berkata, permulaan sesi persekolahan dalam masa lebih seminggu berfungsi mengingatkan mengenai banyak kehilangan kanak-kanak di Ukraine.
Permusuhan yang semakin memuncak telah memusnahkan sistem pendidikan.
UNICEF menganggarkan bahawa satu daripada 10 sekolah telah rosak atau musnah akibat perang.
Sekolah turut menjadi sasaran atau digunakan pihak terlibat dalam pertempuran, sehingga keluarga tidak berasa selamat untuk menghantar anak mereka kembali ke bilik darjah.
Oleh itu, UNICEF menggesa gencatan senjata segera dilakukan bagi melindungi golongan kanak-kanak dan menamatkan serangan ganas di kawasan berpenduduk termasuk ke atas kemudahan serta infrastruktur awam. – Agensie