Berita Utama

Perbuatan merokok di khalayak ramai contoh tak baik pada masyarakat

Selebriti bertanggungjawab tunjuk tingkah laku baik supaya jadi teladan

BANGI, 25 Muharam 1444H, Selasa – Perbuatan atau tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai menunjukkan contoh tidak baik kepada masyarakat sekeliling, terutama untuk kanak-kanak serta golongan remaja.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius terhadap isu seorang selebriti yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap vape di khalayak ramai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebagai selebriti, tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan akan menjadi ikutan.

Apatah lagi, dari sudut kesihatan perbuatan merokok atau menghisap vape sememangnya mendatangkan kemudaratan, baik kepada perokok dan orang sekeliling mereka.

“Oleh itu, sebagai selebriti mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan tingkah laku yang baik yang boleh menjadi teladan kepada masyarakat.

“Ini juga adalah selaras dengan hasrat KKM untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 supaya kawalan terhadap produk rokok secara komprehensif dapat dilaksanakan bagi mengekang masalah merokok di kalangan masyarakat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menggesa setiap lapisan masyarakat termasuk selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima lagi dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, tindakan seorang vokalis sebuah band terkenal tular apabila dengan selamba tampil di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) sambil memegang rokok.

Tindakan selebriti itu sekali gus menimbulkan rasa kurang senang pengguna media sosial, kerana menganggap perbuatan berkenaan tidak wajar dipertontonkan kepada umum.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button