Berita Utama

‘Perjuangan saya, rakyat tentang rasuah terjawab’: Muhyiddin

Harap badan kehakiman terus dilindungi tanpa cubaan campur tangan

BANGI, 25 Muharam 1444H, Selasa – Bekas Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur perjuangannya dan rakyat Malaysia menentang rasuah akhirnya terjawab di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kebimbangannya mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah berskala besar menerusi penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Razak telah disuarakan sejak tahun 2015.

Muhyiddin berkata, walaupun dihukum dengan pemecatan daripada kerajaan – ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri – beliau terus istiqamah dengan prinsip menegakkan yang hak.

“Hari ini, saya bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang konsisten melawan rasuah dan penyelewengan dapat menghela nafas lega dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah ke atas Datuk Seri Najib Razak.

“Terbukti, sistem kehakiman negara kita yang bebas telah dapat menjamin tertegaknya keadilan dan mengembalikan maruah negara yang tercalar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kebebasan sistem kehakiman itu jugalah yang dipertahankannya ketika menjadi Perdana Menteri kelapan.

Katanya, walaupun ada desakan politik supaya beliau campur tangan dalam kes tertentu, Muhyiddin tegas menolak meskipun akhirnya terpaksa meletakkan jawatan kerana mempertahankan prinsip itu.

“Saya ingin mengingatkan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini bukanlah pengakhiran sebuah perjuangan.

“Pendakwaan dalam kes 1MDB yang melibatkan penyelewengan dana berjumlah RM2.6 bilion masih belum selesai.

“Begitu juga kes rasuah yang melibatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) masih dalam proses perbicaraan di mahkamah, selain kes-kes berprofil tinggi yang lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap kebebasan badan kehakiman di negara ini terus dilindungi tanpa ada cubaan campur tangan atau desakan politik dari mana-mana pihak supaya keadilan dapat ditegakkan.

Muhyiddin berkata, kebebasan dan integriti badan kehakiman seperti mana terbukti hari ini adalah paksi sebuah negara demokrasi.

“Tanpa badan kehakiman yang bebas, sistem demokrasi di negara kita akan gagal untuk berfungsi dan Malaysia menjadi sebuah negara yang bersifat autoritarian, rasuah dan bankrap moral, nauzubillah.

“Atas segalanya, saya mendoakan agar Malaysia bebas sepenuhnya daripada amalan kleptokrasi, dijauhi daripada bala bencana dan rakyat dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera,” katanya.

Terdahulu, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib akan menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini di Penjara Kajang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button