Berita Utama

Permohonan Shafee tangguh hujah prosiding ketua hakim tarik diri ditolak

Permohonan dibantah kerana akan menghuru-harakan rayuan kes

PUTRAJAYA, 25 Muharam 1444H, Selasa – Selepas digugurkan daripada menjadi peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat kemunculan semula dalam prosiding rayuan terakhir bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Terdahulu, peguam baharu Najib, Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa Muhammad Shafee akan membantu beliau dalam permohonan Najib agar Ketua Hakim Negara itu menarik diri daripada mendengar rayuan kes itu.

Tengku Maimun berkata “saya ingat beliau telah digugurkan” dan meminta Hisyam meneruskan hujahan sementara menunggu Muhammad Shafee.

Apabila Muhammad Shafee tiba di mahkamah, beliau menjelaskan bahawa pendiriannya hari ini yang memohon agar prosiding itu ditangguhkan bukanlah satu taktik untuk melengahkan pendengaran rayuan tersebut.

“Saya hanya dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Hisyam dua jam lepas dan saya tidak memiliki sebarang bahan dengan saya.

“Lagipun, integriti badan kehakiman sedang terancam. Tiada salahnya membenarkan penangguhan bagi membolehkan saya menyediakan hujahan dalam tempoh 24 jam. Keadilan mesti dilihat ditegakkan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V. Sithambaram membantah permohonan itu atas alasan ia akan menghuru-harakan rayuan kes tersebut.

“Yang Amat Arif, ini bukan kali pertama, di Mahkamah Rayuan sekali pun, sehari sebelum penghakiman pada 8 Dis (tahun lepas), mereka (pembelaan) memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu. Ini adalah satu kesalahan yang serius.

“Saya telah memulakan hujahan minggu lepas manakala mereka enggan berhujah. Permohonan ini adalah mala fide semata-mata, justeru saya membantah penangguhan itu,” katanya.

Tengku Maimun menolak permohonan itu atas alasan tiada sebab untuk menangguhkan prosiding penarikan diri beliau daripada mendengar rayuan Najib dan meminta Hisyam meneruskan hujahannya.

Muhammad Shafee kemudian menyoal “Bolehkah saya kembali esok?”

Tengku Maimun berkata terpulang kepada peguam itu sama ada beliau ingin kembali esok.

“Jika kita teruskan hari ini, semuanya akan selesai hari ini. Tiada alasan untuk kamu (Muhammad Shafee) kembali esok. Malah, tiada siapa perlu kembali esok,” kata Ketua Hakim Negara itu.

Hisyam kemudian meneruskan hujahan beliau mengenai permohonan agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan kes SRC Najib.

Mahkamah menangguhkan sementara prosiding hari ini untuk membincangkan permohonan Najib berhubung penarikan diri Tengku Maimun.

Terdahulu, Muhammad Shafee tiba di Istana Kehakiman pada 11.15 pagi dan dilihat meninggalkan kompleks mahkamah pada kira-kira 11.45 pagi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button