Berita Utama

Tiada garis panduan jelas punca berita, bahan cetak semakin melampaui batas

Tingkatkan hukuman terhadap mereka melanggar batasan dalam penerbitan

Oleh Zuhayati Yazid

PUTRAJAYA, 25 Muharam 1444H, Selasa – Tiada garis panduan jelas dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) menyebabkan semakin banyak penerbitan berita secara fizikal dan digital yang tidak tepat di negara ini.

Situasi itu jika berterusan akan menyebabkan nilai berita tidak lagi sahih dan kualiti, kata Setiausaha Agung Persatuan Cina Muslim Malaysia, Nurul Nadhirah Liew.

Katanya, penerbitan bahan berita terutama di akhbar-akhbar Cina kini terlalu bebas sehingga menyebabkan mereka selesa menghina berbanding menyediakan maklumat yang tepat.

“Keadaan ini semua berpunca daripada kelemahan penguat kuasa yang tidak meletakkan garis panduan yang jelas untuk menghadkan berita-berita tersebut diterbit.

“Perkara berkenaan bukan sahaja menyebabkan penyebaran maklumat yang tidak tepat tetapi akan menyebabkan salah diterjemahkan terutama apabila melibatkan hukum-hukum agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam perbincangan mengenai AMCP bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, di sini hari ini.

Bengkel disertai lebih 20 NGO Islam itu membincangkan langkah-langkah perlu dalam mengembalikan AMCP menjadi lebih relevan sesuai dengan persekitaran semasa.

Nurul Nadhirah menambah, penerbitan dalam bahasa Cina terlalu bebas bukan sahaja melibatkan berita tetapi juga buku-buku terjemahan seperti al-Quran yang didapati dibuat sambil lewa sehingga memberikan makna salah.

Lebih menyedihkan, katanya, bahan berkenaan dijual secara terbuka di pasaran berikutan tiada kawalan serta pengesahan tepat dari pihak yang pakar.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan India Muslim, Datuk Mohd Ali Jinnah Masthan Gani menyarankan, hukuman lebih tinggi dikenakan kepada individu dan syarikat yang melanggar peraturan berhubung bahan-bahan penerbitan.

Katanya, syarikat penerbitan tidak berasa terbeban walaupun menerbitkan bahan yang salah terutama melibatkan perkara-perkara sensitif berikutan jumlah denda terlalu rendah.

“Sepatutnya kerajaan lebih tegas dalam mengeluarkan denda selain mengharamkan terus syarikat dan juga bahan penerbitan tersebut.

“Hukuman tinggi wajar dilakukan sebagai tanda pengajaran dan sekali gus membuktikan keseriusan pihak berkuasa dalam mengawal bahan-bahan cetakan dalam negara ini,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button