Berita UtamaIstimewa

UMNO semakin risau, gesa PRU15 diadakan segera kerana terdesak

Kerosakan pimpinan sudah terlalu membarah, lebih baik UMNO bersihkan imej dahulu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

BANGI, 25 Muharam 1444H, Selasa – UMNO tidak dapat menyembunyikan lagi kebimbangan dan keterdesakannya untuk menyelamatkan kluster mahkamah ketika ini.

Desakan untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah bukti dan lahir daripada kerisauan yang melampau tersebut, demikian kata Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

“BERJASA melihat bahawa desakan untuk menyegerakan PRU15 oleh UMNO tidak lain dan tidak bukan hanya dorongan tamak kuasa dan ingin menyelamatkan pemimpin yang terlibat dengan kes rasuah, salah laku dan salah guna kuasa semata-mata.

“UMNO lebih baik bersihkan imej diri terlebih dahulu. Kerosakan pimpinan hingga ke peringkat cawangan adalah barah yang sangat parah.

“Negara akan menjadi rosak sekiranya parti yang berpenyakit ini memimpin negara dan menjadi kerajaan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, dilaporkan bahawa majoriti Ketua UMNO Bahagian bersetuju supaya PRU15 diadakan secepat mungkin.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, hasrat itu disampaikan 158 Ketua UMNO Bahagian yang hadir kepada pucuk pimpinan untuk memutuskannya antara pimpinan tertinggi UMNO Top 5.

Melihat perkara itu, Ustaz Zamani berkata, beliau yakin sekiranya pimpinan UMNO bahagian dapat berfikiran normal, beremosi matang dan mengutamakan rakyat, mereka pasti akan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 apabila tiba masa yang sesuai.

“Perdana Menteri sendiri, beberapa Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen pembangkang telah menyatakan bahawa PRU15 perlu dilihat secara menyeluruh terutama masalah isu rakyat.

“Apakah dengan UMNO memerintah selepas PRU15 (sekiranya mereka menang), maka negara terus menjadi stabil dan bertambah baik?

“Hakikatnya laungan untuk menjadikan negara stabil dan terurus adalah hanya slogan tunggangan UMNO yang tidak sudah sudah menipu rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Back to top button