Berita Utama

GPS gesa ahli politik henti guna terma tak beradab

'Pelacur politik' berkonotasi negatif, jijik dan tak bermoral

BANGI, 26 Muharam 1444H, Rabu – Gerakan Pengundi Sedar (GPS) menggesa ahli politik menghentikan penggunaan terma tidak beradab ketika membidas mana-mana pihak.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyanggah kenyataan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran yang melabelkan beliau sebagai ‘pelacur politik’.

Mohamed Nazri menegaskan, dalam politik, mereka yang tewas beberapa kali di satu-satu kawasan dan berusaha untuk bertanding di kawasan baharu yang lebih selamat itu sebenarnya ‘pelacur politik’.

Katanya, beliau telah enam penggal menang di Padang Rengas dan tidak pernah cuba untuk mencari tempat baharu yang lebih selesa dan selamat.

“Saya ada dengar orang yang sudah kerap kali kalah di Kota Raja sekarang sedang berusaha mahu bertanding di Sungai Siput (Perak).

“Orang macam inilah sebenarnya ‘pelacur politik’, sudah ditolak pengundi tetapi masih tidak sedar diri,” katanya.

Dalam satu kenyataaan, GPS mengakui rasa kurang senang dengan terma sebegini dan beberapa terma lain yang sering digunakan seperti ‘kekasih’, ‘isteri’, ‘main kayu tiga’ dan lain-lain yang berkonotasi negatif walau apapun sebab dan kepada siapa pun kenyataan itu ditujukan.

“Bukankah apa yang keluar dari mulut pemimpin itu adalah kata-kata yang akan diteladani oleh pengikutnya?

“Walaupun untuk memerli atau menegur sinis, penggunaan perkataan tersebut begitu jijik dan kelihatan tidak bermoral,” tegasnya.

GPS turut menegaskan, pemimpin yang baik harus membezakan susuk tubuh mereka dengan masyarakat biasa terutamanya daripada segi akhlak.

“Jika menjaga mulut pun sukar dilakukan, apatah lagi menjaga perkara yang lebih besar,” katanya.

Difahamkan, terma ‘pelacur politik’ sering digunakan bagi menggambarkan pihak yang sanggup menggadaikan apa saja demi mendapatkan laba.

Pada Mac 2021, bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, melabel PAS sebagai ‘pelacur politik’ kerana sering beralih sokongan antara DAP dan Semangat 46, iaitu parti serpihan UMNO yang diterajuinya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button