
KABUL, 26 Muharam 1444H, Rabu – Sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak maut dalam banjir yang menghanyutkan rumah penduduk di tengah dan timur Afghanistan minggu ini.
Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Samantha Mort berkata, angka kematian dijangka meningkat bahkan lebih ramai kanak-kanak hilang dan cedera akibat banjir.
Sebelum ini, pihak berkuasa bencana pentadbiran Taliban berkata, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk mendapatkan bantuan.
Afghanistan dilanda bencana termasuk kemarau dan gempa bumi yang mengorbankan lebih 1,000 orang pada Jun, dengan negara itu sebahagian besarnya terputus daripada sistem kewangan antarabangsa sejak Taliban mengambil alih setahun lalu.
Di kawasan luar bandar, kampung musnah dan ribuan penduduk kehilangan ternakan dan tanaman mereka, memburukkan lagi krisis kebuluran negara.
Pekerja bantuan UNICEF berkata, mereka bimbang dengan risiko wabak penyakit bawaan air seperti taun akibat air minuman yang tercemar.
Di timur bandar Jalalabad, kawasan itu tidak terlepas daripada kemusnahan, kata pekerja bantuan UNICEF.
Air setinggi dua meter merobohkan dinding, memusnahkan harta benda dan meninggalkan lapisan lumpur tebal di seluruh kawasan kejiranan yang ditenggelami air.
Seorang ibu di Jalalabad kehilangan tiga anak selepas air deras melanda rumah mereka pada malam minggu lalu, menyebabkan rumah itu runtuh.
Dua anaknya yang masih hidup menunjukkan tanda bimbang dan takut, kata pekerja bantuan UNICEF di Jalalabad, Veronica Houser.
Katanya, trauma dalam kalangan mangsa banjir adalah satu kebimbangan dan UNICEF telah menghantar pasukan untuk memberikan sokongan kesihatan mental kepada keluarga yang paling teruk terjejas.
“Ia bukan sahaja berakhir dengan paras air surut,” katanya. – Agensi