Berita Utama

Kedudukan Najib sebagai MP Pekan bergantung pengampunan Diraja

Jika pengampunan diterima, status Ahli Parlimen berterusan hingga akhir penggal

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Muharam 1444H, Rabu – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal kehilangan kedudukan sebagai Ahli Parlimen selepas tempoh 14 hari sekiranya tidak membuat pengampunan Diraja.

Perkara ini selaras Perkara 48 Perlembagaan yang menyatakan individu akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya menerima hukuman penjara, kata Pakar Perundangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

“Bekas Perdana Menteri itu melalui peguam perlu memfailkan permohonan pengampunan Diraja untuk mengekalkan kedudukan sebagai Ahli Parlimen Pekan sehingga akhir penggal ini.

“Bagaimanapun beliau tidak layak untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang selaras Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

“Proses permohonan perlu segera untuk kekalkan kedudukan sehingga akhir penggal, sekiranya pengampunan tidak dibuat dalam tempoh 14 hari, secara automatik kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan akan terlucut dengan sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kedudukan bekas Perdana Menteri ke-6 itu selepas Mahkamah Persekutuan mengekal sabitan dan menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta, berkuat kuasa semalam.

Prof Nik Kamal menjelaskan, pihak peguam Najib boleh membuat permohonan pengampunan dan menunggu dalam tempoh tertentu sama ada permohonan berkenaan diterima ataupun ditolak.

Mengulas mengenai keistimewaan lain yang pernah diterima sepanjang tempoh berkhidmat, katanya, kemungkinan akan ditarik balik.

Bagaimanapun, gelaran-gelaran yang diterima bergantung di atas budi bicara termasuk gelaran daripada raja dan Yang di-Pertuan Agong.

“Manakala dari segi bayaran pencen pula beliau akan kekal menerima sehingga akhir hayat memandangkan beliau Perdana Menteri dan bukan penjawat awam,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button