Berita Utama

MCW gesa segerakan semua kes salah guna kuasa, rasuah berprofil tinggi

Tanpa kira latar belakang supaya tak wujud persepsi tindakan pendakwaan berpilih

BANGI, 26 Muharam 1444H, Rabu – Keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap berintegriti tinggi selain membuktikan kebebasan badan kehakiman negara yang unggul.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, keputusan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu telah menolak keraguan dalam kalangan rakyat terhadap integriti badan kehakiman.

“Kita menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

“MCW yakin bahawa keputusan ini tidak terkhilaf, tepat berdasarkan fakta yang diteliti secara profesional.

“Malah, tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau terkena panahan unsur-unsur politik tertentu yang boleh mencemarkan martabat badan kehakiman negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MCW pada masa sama menggesa agar kes berprofil tinggi lain yang membabitkan kepentingan awam juga diadili dengan sebaiknya.

Katanya, pihak berwajib perlu menyegerakan semua kes salah guna kuasa dan rasuah sama ada di peringkat siasatan atau pendakwaan tanpa mengira latar belakang supaya tidak wujud persepsi tindakan pendakwaan berpilih.

“Kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan pihak berwajib bermula dengan kecekapan menjalankan amanah dan pengadilan yang tidak berat sebelah,” katanya.

MCW turut mengucapkan syabas kepada panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang tegas dalam keputusan terhadap bekas Perdana Menteri yang pernah berjasa kepada negara dan bukanlah sesuatu yang mudah.

Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button