Berita UtamaDunia

PA larang rakyat Palestin guna lapangan terbang Israel

Lapangan Terbang Ramon berkait normalisasi, hapus identiti Palestin

RAMALLAH, 26 Muharam 1444H, Rabu – Pihak Berkuasa Palestin (PA) melarang penduduknya menggunakan Lapangan Terbang Ramon Israel berhampiran Eilat, lapor Agensi Anadolu.

Pegawai PA, Musa Rahal mendakwa, Israel tidak komited dengan perjanjiannya untuk membenarkan rakyat Palestin menggunakan lapangan terbang itu.

Lapangan Terbang Ramon mewakili kepentingan ekonomi negara haram Israel, ia memudaratkan kedaulatan Palestin.

Lebih teruk, ia mempunyai dimensi politik yang berkaitan dengan normalisasi dan penghapusan identiti Palestin, tegas Rahal.  

“Ia juga bertentangan dengan kepentingan Jordan,” katanya. 

Perkara itu disahkan Jurucakap Kementerian Pengangkutan PA bahawa rakyat Palestin tidak boleh menggunakan lapangan terbang Israel.

“Terdapat keutamaan dan hak di bawah perjanjian antarabangsa, termasuk penyerahan Lapangan Terbang Antarabangsa Jerusalem di Qalandia.

“…pembinaan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza dan membenarkan pembinaan lapangan terbang baharu di Tebing Barat, yang kesemuanya akan  diuruskan oleh rakyat Palestin,” katanya.

Satu-satunya lapangan terbang di Gaza telah dimusnahkan oleh rejim haram Israel pada akhir 2001 dan awal 2002.

Pihak Israel, katanya, mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang mesej daripada PA.

Selain itu, pegawai itu menegaskan bahawa pihak berkuasa Palestin tidak mempunyai cara untuk mengetahui siapa yang telah terbang keluar dari Lapangan Terbang Ramon. 

“Ia boleh digunakan oleh orang yang melarikan diri daripada keadilan.”

Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Israel mengumumkan bahawa lapangan terbang itu akan mula membenarkan pelancong Palestin dari Tebing Barat menggunakan lapangan terbang itu mulai 22 Ogos.  

Kumpulan pertama rakyat Palestin menyertai penumpang lain dalam penerbangan ke Cyprus pada hari Isnin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button