Berita Utama

Parlimen Pekan terus dijaga demi rakyat

MB Pahang hargai jasa, sumbangan Najib kepada negeri

KUANTAN, 26 Muharam 1444H, Rabu – UMNO Pahang akan menjaga kawasan Parlimen Pekan, demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan Datuk Seri Najib Razak.

Melahirkan rasa sedih terhadap keputusan tersebut, Wan Rosdy yang juga Ketua UMNO Pahang berkata, kawasan itu akan diberi perhatian sewajarnya demi kepentingan rakyat.

“Insya-Allah, Parlimen Pekan akan terus dijaga, diurus tadbir demi manfaat rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau mendoakan Najib dan keluarga dikurniakan ketabahan, kekuatan serta kecekalan untuk menghadapi ujian yang cukup berat ini. 

“Bagi kami, amat besar jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh Najib dalam membangun dan memajukan negeri Pahang serta negara ini di sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang satu ketika dahulu.

“Justeru, kami amat menghargai setiap jasa, keringat dan sumbangan yang telah beliau curahkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan, 

Beliau berkata, perjuangan dan komitmen tidak berbelah bahagi Najib dalam mempertahankan parti dan membongkar penipuan serta putar belit pihak lawan sentiasa menjadi inspirasi kepada ahli parti.

Najib mengambil alih kerusi Parlimen Pekan pada usia 23 tahun selepas kematian bapanya Tun Abdul Razak Hussein pada 1976.

Bekas Perdana Menteri itu mengekalkan kerusi itu pada PRU14 tetapi gagal mencapai sasaran majoriti 40,000 undi.

Najib menang dengan majoriti 24,859 undi, menewaskan Ahiatudin Daud dari PAS, Muhammad Zahid Md Arip dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan calon Bebas Abd Kadir Sainudin.

Sebelum ini, timbul desas desus Mohd Nizar yang merupakan anak Najib bersama bekas isteri, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar bakal menjadi calon UMNO di Pekan.

Jika menjadi kenyataan, Ketua Pemuda UMNO Pekan itu akan meneruskan legasi Bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, di Pahang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button