Berita UtamaDunia

Prayut digantung tugas PM Thailand

Mahkamah setuju dengar petisyen pembangkang, Prayut sudah capai had penggal lapan tahun

BANGKOK, 26 Muharam 1444H, Rabu – Mahkamah Perlembagaan Thailand, hari ini menggantung tugas Prayut Chan-o-cha sebagai Perdana Menteri selepas memutuskan untuk mendengar petisyen parti pembangkang.

Mahkamah sebulat suara bersetuju untuk mendengar kes yang berpendapat Prayut telah mencapai penghujung had penggal lapan tahun sebagai Perdana Menteri.

“Mahkamah telah mempertimbangkan petisyen dan dokumen yang disertakan. Mahkamah melihat, fakta yang dimasukkan dalam petisyen menimbulkan keraguan munasabah bahawa petisyen itu mempunyai alasan.

“Oleh itu, mahkamah mencapai undi majoriti (5:4) untuk responden menggantung tugas Perdana Menteri mulai 24 Ogos 2022 sehingga mahkamah menyampaikan keputusan,” menurut kenyataan itu.

Prayut dikehendaki memberikan penjelasan kepada mahkamah dalam tempoh 15 hari selepas menerima salinan permintaan itu.

Seorang pengganti akan dilantik untuk mengetuai kerajaan, dengan Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan antara calon kegemaran dikhabarkan akan mengambil alih peranan itu.

Ini bukan kali pertama Mahkamah Perlembagaan memainkan peranan dalam politik Thailand. 

Sebelum ini, ia pernah membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum pada 2006 dan 2014.

Perlembagaan kerajaan 2017 melarang Perdana Menteri daripada berkhidmat lebih lapan tahun secara keseluruhan, dan parti pembangkang berkata, Prayut yang mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa 2014, telah mencapai had.

Bagaimanapun, penyokong pemimpin berusia 68 tahun itu berpendapat bahawa masa pemerintahannya bermula apabila Perlembagaan 2017 dimulakan, atau pun selepas Pilihan Raya Umum 2019.

Jika mahkamah mengikut logik ini, Prayut secara teknikal boleh terus berkhidmat sehingga 2025 atau 2027 – jika dia memenangi Pilihan Raya Umum yang dijangka menjelang Mac.

Bekas ketua tentera itu berkuasa dalam rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan Yingluck Shinawatra yang dipilih secara demokrasi.

Beliau mengetuai rejim junta selama lima tahun dan terus menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya 2019.

Prayut yang tegas dan berterus-terang telah mendapati dirinya semakin tidak disukai oleh pengundi. 

Tinjauan pendapat baru-baru ini mendapati dua pertiga daripada responden mahu dia mengosongkan jawatan dengan segera.

Di bawah pengawasan Prayut, kerajaan itu mencatatkan prestasi ekonomi terburuk dalam tempoh 30 tahun dan kerajaannya juga menghadapi kritikan berhubung pengendalian wabak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button