Berita Utama

Sekali lagi Zahid silap percaturan, jawatan Presiden UMNO boleh terlepas

Ismail Sabri ada pilihan redakan percakaran politik dengan tetapkan tarikh PRU15

BANGI, 26 Muharam 1444H, Rabu – UMNO kini dalam situasi sukar dan dilema untuk menentukan langkah tepat sama ada terus mendesak atau melewatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun, UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai pilihan meredakan ‘percakaran’ politik antara satu sama lain dengan menetapkan tarikh PRU15, kata Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM) itu berkata, sekiranya penetapan tarikh PRU15 dapat ditangani, maka Malaysia akan memperoleh ketenangan politik buat sementara waktu.

Bahkan katanya, kerajaan juga dapat memfokuskan kepada usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19.

“Pemimpin politik hari ini pula tidak lagi boleh sekadar memikirkan pergelutan kuasa semata-mata, tetapi perlu menyedari rakyat adalah sumber kuasa sedang memerhatikan gerak-geri dan menilai masa depan politik mereka,” katanya dalam artikel disiarkan Berita Harian hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi – Presiden UMNO – benar-benar berani dan mahukan PRU15 diadakan segera, beliau dan penyokongnya boleh sahaja bertindak menarik sokongan daripada kerajaan dan memecat keahlian Ismail Sabri daripada UMNO.

Namun Ahmad Zahid mungkin diselubungi sindrom ketakutan hilang jawatan sehingga sukar membuat keputusan tegas membabitkan kepentingan parti.

Mohammad Tawfik berkata, ketakutan itu sehingga hari ini masih menghantui Ahmad Zahid selepas beliau pernah didesak bercuti daripada menjalankan tugas Presiden pada 2018 oleh pemimpin pelbagai peringkat dalam UMNO.

“Beliau satu-satunya Presiden dalam sejarah parti didesak bercuti sebagai Presiden dan keadaan itu amat memalukan apatah lagi selepas UMNO tewas dalam PRU14.

“Peristiwa itu menjadi pengajaran besar kepada Ahmad Zahid untuk sentiasa berhati-hati mencongak dan bertindak dalam menetapkan sebarang keputusan boleh menjejaskan masa depan politiknya.

“Sekiranya Ahmad Zahid sekali lagi tersilap percaturan, jawatan Presiden boleh terlepas kepada Ismail Sabri yang mempunyai kelebihan sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Pautan artikel asal;
https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2022/08/992171/perdamaian-pemimpin-umno-penentu-nasib-parti-hadapi-pru-15

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button