Selepas diasak, rejim Zionis serah jenazah wanita Palestin yang disimpan lebih setahun
Sehingga kini ratusan jenazah masih dalam simpanan Israel
BAITULMAQDIS, 26 Muharam 1444H, Rabu – Selepas setahun, tuntutan demi tuntutan dibuat, akhirnya rejim Zionis memulangkan semula jenazah seorang wanita Palestin, Mai Afana yang ditembak di Baitulmaqdis, Jun tahun lalu.
Sekumpulan penduduk dan ahli keluarga menyegerakan urusan pengebumian jenazah berkenaan di kampung halaman wanita terbabit di Abu Dis, timur Baitulmaqdis.
Sementara itu dalam bentuk hukuman kolektif yang lain, Zionis menggunakan penyerahan jenazah berkenaan sebagai alat tawar menawar dalam bentuk perjanjian dengan Palestin.
Zionis telah lama mengekalkan polisi tidak berguna dengan tidak menyerahkan semula jenazah penduduk Palestin yang dibunuh oleh tenteranya kepada keluarga untuk dikebumikan.
Malah, sehingga kini ratusan jenazah masih dalam simpanan Zionis sejak beberapa tahun lalu.
Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa berulang kali mengecam polisi negara haram Israel, yang menyimpan jenazah tanpa sebab dan alasan kukuh.
Pertubuhan hak asasi manusia Israel, B’Tselem menyifatkan polisi yang diamal sejak beberapa tahun lalu sebagai pencabulan manusia sambil menambah dasar berkenaan bukan sahaja salah dari segi moral, tetapi juga memandang remeh kepada penduduk Palestin dan keluarga.
Tindakan penahanan jenazah penduduk Palestin dengan cara tidak mengembalikan kepada keluarga untuk urusan pengebumian merupakan perbuatan kejam dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kata Pusat Undang-undang untuk Hak Minoriti Arab di Israel yang berpangkalan di Haifa.
Sebelum ini rejim Zionis sengaja menyimpan jenazah penduduk Palestin di makmal di beberapa universiti negara haram itu. – Agensi
Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/07/05/2kejam-zionis-simpan-jenazah-rakyat-palestin-di-makmal-universiti/