Berita Utama

Tak perlu PRK Parlimen Pekan

Najib masih boleh buat permohonan pengampunan diraja

BANGI, 26 Muharam 1444H, Rabu – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pekan tidak akan dilaksanakan sekiranya Datuk Seri Najib Razak sah hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri itu, yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat perlu diisi menerusi pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan luar jangka itu berlaku.

Bagaimanapun, jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat itu berlaku dalam tempoh dua tahun dari tarikh Parlimen terbubar, kekosongan itu tidak boleh diisi, melainkan bilangan parti yang membentuk majoriti di Dewan Rakyat terjejas akibat kekosongan berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan ditentukan dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan.

“Pengosongan kerusi tidak serta-merta, tetapi selepas 14 hari. Dalam tempoh itu, Najib masih boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pengampunan diraja.

“Selepas tempoh itu, jika Parlimen dimaklumkan bahawa Najib hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, maka kerusinya akan dikosongkan.

“Namun, mengikut Perlembagaan juga, tiada keperluan untuk PRK dilaksanakan kerana tempoh kekosongan kurang dua tahun daripada pembubaran Parlimen,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Wan Junaidi memaklumkan sekiranya tiada sebarang proses lanjut daripada Najib, sama ada semakan atau permohonan pengampunan diraja, bekas Perdana Menteri itu juga secara rasmi tidak layak untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika tiada pengampunan, ertinya beliau akan berada dalam penjara. Sebagai individu yang didapati bersalah oleh mahkamah, beliau secara automatik tidak lagi layak bertanding dalam pilihan raya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button