Berita Utama

UMNO terkilan, tetap mahu bersama Najib dalam perbicaraan kes lain

Kepincangan dalam sistem keadilan akan jadi agenda untuk diperbetulkan

BANGI, 26 Muharam 1444H, Rabu – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta seluruh keluarga UMNO melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan perbicaraan Datuk Seri Najib Razak yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan, semalam.

Ahmad Zahid – yang juga sedang berdepan 47 pertuduhan di mahkamah – berkata, keputusan terhadap bekas Perdana Menteri ke-6 itu membuatkan UMNO berasa terkilan. 

Ini kerana, dakwanya, proses dan ruang untuk Najib mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti baharu serta penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.

“Bagi UMNO keputusan Mahkamah Persekutuan, semalam tidak sama sekali dapat memadamkan jasa besar Najib sebagai Perdana Menteri yang telah membawa Malaysia ke mercu kejayaan dan meletakkan Malaysia di persada sebelum disuramkan oleh kegagalan dua kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Walau jasad dipenjara, semangat dan daya juang mantan Presiden UMNO itu dalam usaha mempertahankan dirinya serta tampil berada di barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra UMNO sehingga mampu bangkit semula selepas kekalahan PRU-14, akan tetap membara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, UMNO akan terus bersama Najib dalam menghadapi perbicaraan kes lain yang sedang dihadapinya bagi menjamin beliau mendapat keadilan dan tidak ‘dimangsakan’ dengan tekanan politik.

“Kepada seluruh ahli UMNO, kita perlu bertenang dan tanamkan tekad, segala kepincangan dalam sistem untuk menjamin keadilan, akan menjadi salah satu agenda untuk diperbetulkan.

“Ini termasuklah pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas mengenai campur tangan politik Perdana Menteri Pakatan Harapan terdahulu dalam pelantikan Hakim dan perjalanan sistem perundangan negara,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata, sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman dikenakan tidak keterlaluan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button