Pendapat

Bersihkan politik negara dari segala daki rasuah

Kita dimomokkan sistem kehakiman negara dikawal sepenuhnya ahli politik

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan rasuah bukanlah kemenangan kepada sesiapa.

2. Ia bukan tanda kemenangan Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun sesiapa yang menentang beliau sebelum ini. Ia juga bukan tanda sistem kehakiman Malaysia telah bebas dari sebarang campur tangan politik seperti kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

3. Bagi saya sistem kehakiman Malaysia berfungsi dengan sepatutnya dan menjatuhkan hukuman mengikut peruntukan yang diberikan. Sistem ini sememangnya harus menghukum sesiapa yang bersalah tidak kira siapa pun pesalahnya, atau implikasi hukuman tersebut kepada negara.

4. Masalah kita ialah kita telah dimomokkan bahawa sistem kehakiman negara dikawal sepenuhnya oleh ahli politik yang berkuasa sebahagiannya disebabkan perlantikan beberapa posisi strategik yang berdasarkan kecenderungan dan kepentingan tertentu, bukan semata-mata berdasarkan merit.

5. Jika benar senario ini pernah berlaku, ia harus diperbetulkan. Dan pembetulan seperti ini amat tidak mustahil.

6. Kes 1MDB dan SRC ini juga bakal memberikan ‘wake-up’ call kepada semua ahli politik dan seluruh rakyat Malaysia agar tidak memandang enteng undang-undang negara.

7. Saya yakin, selepas ini lebih ramai ahli politik akan dibawa ke muka pengadilan dan menerima akibat hasil perbuatan jahat mereka sebagai pengkhianat negara.

8. Saya percaya, lebih banyak kes salah laku, rasuah dan salah guna kuasa bakal didedahkan. Lebih ramai yang akan berani dan berkata benar untuk melakukan pendedahan umum (bukan Rafizi seorang sahaja).

9. Ayuh kita bersihkan politik negara dari segala kekotoran dan daki rasuah! Ayuh kita gantikan mereka semua dengan kepimpinan baharu Malaysia yang lebih baik.

10. Semoga Allah SWT memandu dan memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada perjuangan menegakkan kebenaran di tanah air yang tercinta ini.

Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button