Berita Utama

Bekas CEO 1MDB tak layan bila minta dokumen pelaburan: Saksi

Berhubung kes penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB

KUALA LUMPUR, 27 Muharam 1444H, Khamis – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak pernah melayan permintaan daripada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) untuk mendapatkan dokumen berhubung pelaburan usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, berkata tindakan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi itu seolah-olah tidak menghormatinya.

Saksi pendakwaan ke-26 itu berkata beliau pernah mengadu perkara itu kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) ketika itu, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, bagaimanapun, tiada apa-apa tindakan daripada mereka.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, pada perbicaraan kes bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1MDB.

Saksi juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Shahrol Azral sepatutnya melayan permintaanya itu.

— LAGI

MAHKAMAH-NAJIB (1MDB) (DOKUMEN) 2 KUALA LUMPUR

Muhammad Shafee: Tindakannya (Shahrol Azral) macam kurang ajar?

Siti Zauyah: Itu perkataan (kurang ajar) Tan Sri sebut. Tapi perbuatan Shahrol Azral adalah macam tidak hormat.

Ketika ditanya sama ada beliau mengadu (berhubung Shahrol Azral) kepada Najib, saksi menjawab beliau tidak pernah mengadu kepada Najib kerana beliau mempunyai ‘boss’ sendiri.

Muhammad Shafee: Itu saya faham, saya pun ada boss di rumah. Tapi kita tak boleh buat kesimpulan bahawa Najib mengarahkan Shahrol Azral berkelakuan sedemikian. Ya atau tidak? Sebab kamu sendiri tak beritahu Najib mengenai masalah yang kamu hadapi.

Siti Zauyah: Bukan level (peringkat) saya untuk berurusan dengan PM (Najib).

— LAGI

MAHKAMAH-NAJIB (1MDB) (DOKUMEN) 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Muhammad Shafee: Datuk, berapa lama perbuatan ini (tidak diendahkan) berlarutan di 1MDB?

Siti Zauyah: Sejak penubuhan sampai sekarang.

Muhammad Shafee: Sekarang juga?

“Saya kena tanya kepada siapa yang menjaga portfolio berkenaan,” katanya yang bersara pada Nov 14 2019.

Perbicaraan hari ini dihentikan lebih awal apabila Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa beliau mengalami sakit gastrik.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 5 Sept ini.

Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 4.20 petang dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) serta diiringi beberapa kenderaan polis.

Esok, Najib akan hadir ke mahkamah sekali lagi untuk perbicaraan kesnya dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy membabitkan pertuduhan meminda laporan audit 1MDB di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button