Berita Utama

Besar kemungkinan Najib akan diampun

Kes SRC terlalu lama, banyak kes rasuah ahli politik lain tertangguh

BANGI, 27 Muharam 1444H, Khamis – Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International mengambil masa terlalu panjang sehingga menyebabkan banyak kes rasuah ahli politik lain tertangguh.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, kelewatan perbicaraan akan menyebabkan keadilan terabai sekali gus menyebabkan penjenayah terlepas daripada hukuman.

“Kerana kes SRC Najib mengambil masa yang amat panjang (empat tahun), banyaklah kes-kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan ramai tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah.

“Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasilkan keadilan terabai,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Mahathir berkata, Najib ketika ini sedang dibicarakan berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa yang panjang.

“Saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh. Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan.

“Sekarang banyak laporan dibuat berkenaan kes-kes rasuah yang serius yang belum dibicarakan. Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas daripada dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka.

“Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai, bagi Najib besar kemungkinan dia akan diampun setelah dipenjara,” katanya.

Hari ini, Datuk Seri Najib Razak dijadual menghadapi perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Ia adalah penampilan pertama Ahli Parlimen Pekan itu selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Pada Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button