Berita Utama

Cacar monyet: JKN Kedah tingkat pemantauan di sempadan

Bagi elak risiko penularan jangkitan dari Thailand

PENDANG, 27 Muharam 1444H, Khamis – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah bekerjasama dengan kerajaan Thailand bagi meningkatkan pemantauan di sempadan, susulan situasi semasa jangkitan cacar monyet di negara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata langkah itu bagi mengelakkan sebarang risiko penularan jangkitan virus itu ke negeri ini yang bersempadan dengan Thailand.

Katanya, JKN juga sentiasa memantau dan mendapatkan maklumat awal perkembangan penyakit itu di negara tersebut.

“Setakat ini hanya vaksin yang mampu mencegah jangkitan dan kita menggalakkan individu yang mahu ke negara jiran supaya mengambil vaksin terlebih dahulu sebagai langkah pencegahan.

“Setakat ini kita belum mengesan individu yang baru pulang dari Thailand mempunyai simptom jangkitan virus berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Asyura Perdana PAS Kawasan Pendang di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan Thailand mengeluarkan amaran cacar monyet peringkat kebangsaan selepas mesyuarat tergempar agensi kesihatan dan menteri kesihatan awam pada 28 Julai lepas.

Dr Mohd Hayati berkata semua pihak harus berhati-hati dengan penyakit tersebut kerana ia boleh merebak menerusi air liur, kahak, mukus dan menerusi cecair pernafasan pesakit kepada individu lain.

“Sekiranya ada rakyat kita yang mahu ke Thailand untuk makan-makan tiada masalah, sebab ia tidak merebak melalui makanan, cuma lihatlah pada kulit orang di sekeliling, jika nampak ada bintik-bintik ruam, jangan sentuh atau dekati individu berkenaan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button