Berita UtamaDunia

Juruterbang Etihad wanita UAE pertama jadi kapten pesawat komersial

Kapten Aisha al-Mansoori bersyukur, mahu jadi inspirasi wanita muda

ABU DHABI, 27 Muharam 1444H, Khamis – Juruterbang Etihad Airways, Aisha al-Mansoori mencipta sejarah penerbangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas menjadi kapten komersial wanita pertama negara itu.

Warga UAE berusia 33 tahun itu telah lama menjadi juruterbang dengan Etihad Airways, syarikat penerbangan nasional UAE.

Beliau pertama kali menyertai syarikat penerbangan itu pada 2007.

Syarikat penerbangan berkenaan kini menamakan Aisha al-Mansoori sebagai kapten wanita pertama UAE dalam syarikat penerbangan komersial, hanya beberapa hari sebelum negara itu meraikan Hari Wanita Emirati tahunannya, yang bertujuan meraikan perjalanan negara dalam memperkasakan wanita.

Aisha al-Mansoori berkata, dia ‘sangat bersyukur’ kerana berpeluang mengembangkan kerjaya penerbangannya dengan Etihad Airways.

“Saya sangat bersyukur kerana berpeluang menyertai program Juruterbang Kadet Etihad dan mengembangkan kerjaya saya selama ini bersama Etihad.  

“Saya berterima kasih atas sokongan besar yang saya terima daripada pengajar saya di Etihad dan atas bimbingan mereka melalui latihan yang telah membentuk kemahiran dan menyediakan saya untuk pangkat kapten.

“Saya berbangga menjadi wanita Emirati pertama yang menjadi kapten dalam syarikat penerbangan komersial, dan saya harap saya akan menjadi inspirasi kepada wanita muda untuk mengikuti laluan kerjaya ini,” katanya.

Majlis kenaikan pangkat itu berlangsung di Pusat Taklimat Krew Etihad dengan kehadiran keluarga juruterbang, rakan dalam komuniti perintis Etihad dan pengurusan kanan syarikat penerbangan.

Aisha al-Mansoori menyertai program Juruterbang Kadet Etihad pada 15 tahun lalu dan merupakan salah seorang daripada dua wanita UAE dalam kumpulannya.

Pada tahun 2010, Aisha al-Mansoori berjaya menamatkan pengajian dan membuat penerbangan pertamanya dengan Airbus A320 ke Amman, Jordan.

Sejak itu, Aisha al-Mansoori telah dinaikkan pangkat dan melengkapkan waktu penerbangan yang diperlukan untuk menjadi Pegawai Kanan Pertama.

Beliau ketika itu merupakan wanita pertama warga UAE yang menerbangkan pesawat penumpang superjumbo Airbus A380.

Untuk mendapatkan kapten, Aisha al-Mansoori menyelesaikan program pemeriksaan ketat Etihad dan bilangan jam penerbangan wajib yang diperlukan untuk dipertimbangkan pangkat tersebut.

Beliau berjaya lulus pengetahuan teori serta peperiksaan penerbangan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Am UAE dan secara rasmi menjadi kapten wanita Emirati pertama yang memegang Lesen Juruterbang Pengangkutan Udara di UAE. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button