Berita Utama

Kisah Najib bukan pengakhiran UMNO

Mereka tersilap percaturan anggap UMNO terpadam bila penjarakan Najib

BANGI, 27 Muharam 1444H, Khamis – Kisah Datuk Seri Najib Razak bukanlah pengakhiran kepada perjuangan UMNO mengembalikan kemakmuran di bumi Malaysia.

Sebaliknya, kisah itu akan menjadi azimat penguat untuk terus bersama dan lebih bersemangat dalam berjuang, demikian dakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang cuba optimis dalam menjalani titik hitam UMNO ketika ini.

Presiden UMNO itu berkata, sebagaimana melesetnya jangkaan bahawa parti itu tiada lagi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), begitu juga kisah Najib.

“Selepas PRU14, mereka pernah menyatakan UMNO telah tiada dan sudah berakhir. Mereka mahu menamatkan terus riwayat UMNO, namun berkat keazaman bersama kita berjaya menghalanginya.

“Bersama kita semua mara dan terus berjuang mencapai kebangkitan UMNO. Selepas gagal dan melihat kebangkitan UMNO, mereka mahu menguasai (hijack) parti terbesar orang Melayu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mendakwa, mereka mahu memperkudakan UMNO untuk menjamin kedudukan politik, kuasa dan jawatan mereka yang kian lemah.

Namun, katanya, berkat keazaman pemimpin dan ahli UMNO yang setia, sekali lagi dapat bersama berjaya menghalanginya.

“Bagaimanapun, dapat jua disaksikan betapa mereka tetap bermuslihat untuk menawan dan mempergunakan UMNO. Bagi mencapai tipu daya, pemimpin UMNO yang mempertahan UMNO daripada tergadai kepada mereka mahu diketepikan. 

“Syukur ke hadrat Ilahi para pimpinan UMNO yang setia kepada perjuangan UMNO tidak tunduk dan mengalah.

“Termasuk Najib yang telah begitu banyak berjasa kepada UMNO yang kini dipenjarakan,” katanya.

Kata Zahid lagi, mereka menjangkakan api kemaraan UMNO akan terpadam dengan pemenjaraan Najib Razak.

“Mereka mengharapkan muslihat mereka akan lebih mudah dicatur dan terlaksana, ternyata mereka tersilap mengatur percaturan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button