Berita Utama

KPM berhasrat tambah pengambilan guru tahun ini

Jumlah dijangka lebih daripada sebelum COVID-19

BANGI, 27 Muharam 1444H, Khamis – Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan bagi menambah bilangan pengambilan tahunan guru mulai tahun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, sebelum ini jumlah pengambilan guru setiap tahun sekitar 4,000 hingga 5,000 orang.

“Biasanya setiap tahun sekitar 4,000 atau 5,000 orang sahaja namun bila kita tukar pendekatan kepada sistem kluster dan kita lihat pengambilan ini dapat kita tingkatkan dan Insya-Allah tahun ini juga kita akan teruskan pengambilan.

“Kita sedang ikhtiarkan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk kita ambil jumlah yang lebih ramai daripada sebelum ini. Kita sedang usahakan. Jumlahnya kita jangka akan lebih dari sebelum COVID-19,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Radzi berkata, isu pengambilan guru antara masalah yang begitu lama tertangguh di KPM sehingga 18,702 kekosongan jawatan tidak diisi.

Katanya, ketika menerajui KPM, sebanyak 16,000 kekosongan berkenaan berjaya diisi setelah pengambilan secara ‘one-off’ dibuat.

“Apabila kita dalami lagi isunya adalah ‘mismatch’ antara opsyen graduan yang keluar dengan opsyen yang kosong di sekolah. Sebab itu kita perkenalkan buat pertama kali dalam sejarah pengambilan berdasarkan kluster mata pelajaran.

“Kalau dahulu graduan pendidikan dalam bidang fizik, dia kena tunggu ada kekosongan opsyen fizik di sekolah baru dia boleh masuk.

“Tapi kita bincang, kita kata kalau graduan fizik, dalam dia nak belajar fizik mestilah dia tahu matematik. Dalam konteks itu, graduan fizik ini boleh boleh mengajar fizik, boleh mengajar matematik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button