Berita Utama

Perak negeri kedua tertinggi catat keluasan Tanah Rizab Melayu

Keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak lebih 953,000 hektar

IPOH, 27 Muharam 1444H, Khamis – Perak mencatatkan keluasan Tanah Rizab Melayu kedua tertinggi dengan menyumbang kepada jumlah 19 peratus di Semenanjung Malaysia selepas Kelantan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak adalah lebih 953,000 hektar atau 45.1 peratus berbanding 2.1 juta hektar daripada keluasan tanah di negeri ini.

Menurut Saarani, data menunjukkan terdapat seluas 14,960.23 hektar Tanah Rizab Melayu telah dibatalkan dan digantikan semula dengan jumlah yang lebih tinggi iaitu 27,255.92 hektar sepanjang tempoh selepas merdeka di negara ini.

“Ini menunjukkan bahawa Perak masih dan akan terus kompeten dalam memastikan mana-mana Tanah Rizab Melayu terutama yang telah diwartakan tetap akan terpelihara. Pemasukan maklumat berkaitan Pengisytiharan Kawasan Simpanan Melayu yang telah diwartakan akan dimasukkan ke dalam hak milik secara berterusan.

“Bagaimanapun, semakan yang teliti perlu dibuat sebelum pemasukan maklumat berkaitan Kemasukan Rizab Melayu ke dalam hak milik dibuat kerana kita harus ingat, terdapat hak milik yang telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu tetapi berkemungkinan besar hak milik itu dimiliki oleh bukan Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi sempena Hari Tanah Negara Peringkat Negeri Perak 2022 bertemakan ‘Pemerkasaan Tanah Rizab Melayu’ di sini hari ini.

Saarani berkata istilah Tanah Rizab Melayu hanya berkuat kuasa setelah pemilik asal memindah hak milik tanah berkenaan kepada orang Melayu, maka tanah itu secara automatiknya diisytiharkan sebagai Kawasan Simpanan Melayu, Pegangan Melayu.

Menurutnya, pemilikan dan pemegangan tanah merupakan antara isu yang sangat sensitif dalam mengekalkan kelangsungan sesuatu bangsa atau kaum di sesebuah negeri atau daerah.

“Namun, tidak dinafikan, cabaran dalam membangunkan Tanah Rizab Melayu itu sendiri perlu dilihat dan dikaji agar pertumbuhan ekonomi seperti permintaan terhadap pembangunan, industri, sektor pemakanan dan sebagainya dapat dinikmati oleh pemilik tanah yang memiliki Tanah Rizab Melayu.

“Maka, langkah-langkah penambahbaikan kepada isu Tanah Rizab Melayu khususnya di negeri Perak dapat diselesaikan…Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak dengan Pejabat Daerah dan Tanah akan mengambil pendekatan berterusan berkaitan urus tadbir Tanah Rizab Melayu,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button