Berita Utama

PN anjur konvensyen sambut ulang tahun ke-2, Sabtu ini

Bincang isu PRU15 dan dasar serta hala tuju parti

KUALA LUMPUR, 27 Muharam 1444H, Khamis – Konvensyen Perikatan Nasional (PN) akan diadakan buat pertama kali bersekali dengan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-2 PN, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, Selangor pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan, Konvensyen PN 2022 antara lain akan membincangkan isu semasa berkaitan masalah rakyat pasca pandemik, menggariskan landasan utama PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dan menetapkan dasar serta hala tuju parti.

Beliau berkata konvensyen itu juga bertujuan meningkatkan keyakinan rakyat, bahawa PN adalah parti yang mempunyai tawaran yang harmoni, relevan dan segar, sejajar dengan aspirasi rakyat Malaysia.

“PN percaya bahawa Konvensyen PN 2022, mampu menjadi wadah untuk memperbaharui tekad perjuangan khidmat bakti parti kepada rakyat, serta memperkukuhkan kerjasama parti-parti anggota PN secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya konvensyen itu akan dirasmikan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri semua presiden parti komponen PN, pimpinan dan perwakilan PN yang dijangka 1,800 orang, termasuk semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri PN seluruh negara.

Selain itu, Hamzah berkata Anugerah Prihatin Perikatan Nasional, akan disampaikan pada konvensyen itu kepada individu dan organisasi yang telah menunjukkan keprihatinan, pengorbanan serta sumbangan luar biasa kepada negara dan masyarakat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button