Berita Utama

Siasatan ajaran sesat Hadi Minallah sedang diperincikan

Penyebaran ajaran itu dikesan di Selangor, Johor dan Kedah

SHAH ALAM, 27 Muharam 1444H, Khamis – Siasatan berkaitan ajaran sesat Hadi Minallah sedang diperincikan dan laporan mengenainya dijangka dikeluarkan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiasat sama ada ajaran itu membabitkan warga tempatan atau warga asing.

“Setakat ini, kita masih menunggu siasatan dan laporan penuh berkenaan. Kenyataan lanjut akan dikeluarkan JAIS dalam tempoh terdekat,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary mendedahkan bahawa penyebaran ajaran sesat itu turut dikesan di Selangor, Johor dan Kedah.

Katanya, semua keputusan berkaitan ajaran sesat seperti tindakan undang-undang atau menfatwa bagaimanapun diserahkan kepada kerajaan negeri masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini langkah pencegahan awal telah diambil oleh pihak berwajib bagi mengekang penyebaran ajaran baharu itu.

“Tindakan pemantauan turut dilakukan terhadap mana-mana ajaran lain yang membawa kepada kesalahan dari sudut agama.

“Walaupun belum didedahkan lagi, tapi kita ada kemudahan untuk memantau dan sentiasa mendapatkan maklumat, yang timbul (ajaran) itu sudah sampai masanya, tetapi yang belum lagi sedang dalam pengawasan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button