Berita UtamaIstimewa

Skandal 1MDB, SRC jadi ‘wake-up call’, lebih ramai pengkhianat bakal terima akibat

Percaya banyak kes rasuah dan salah guna kuasa akan didedahkan

BANGI, 27 Muharam 1444H, Khamis – Kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal SRC International Sdn Bhd petanda ‘wake-up call’ kepada ahli politik dan seluruh rakyat agar tidak memandang enteng undang-undang negara.

Susulan kes itu juga, Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim yakin selepas ini lebih ramai ahli politik akan dibawa ke muka pengadilan dan menerima akibat hasil perbuatan jahat mereka sebagai pengkhianat negara.

“Saya percaya, lebih banyak kes salah laku, rasuah dan salah guna kuasa bakal didedahkan. Lebih ramai yang akan berani dan berkata benar untuk melakukan pendedahan umum (bukan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli seorang sahaja).

“Ayuh kita bersihkan politik negara dari segala kekotoran dan daki rasuah! Ayuh kita gantikan mereka semua dengan kepimpinan baharu Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan rasuah bukanlah kemenangan kepada sesiapa.

Katanya, ia bukan tanda kemenangan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahupun sesiapa yang menentang beliau sebelum ini.

“Ia juga bukan tanda sistem kehakiman Malaysia telah bebas dari sebarang campur tangan politik seperti kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi saya sistem kehakiman Malaysia berfungsi dengan sepatutnya dan menjatuhkan hukuman mengikut peruntukan yang diberikan.

“Sistem ini sememangnya harus menghukum sesiapa yang bersalah tidak kira siapa pun pesalahnya, atau implikasi hukuman tersebut kepada negara,” katanya.

Hari ini, Datuk Seri Najib Razak dijadual menghadapi perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Ia adalah penampilan pertama Ahli Parlimen Pekan itu selepas dua hari menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Pada Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button