Berita Utama

Bajet 2023 dibentang pada 7 Oktober?

Keputusan dibuat sehari sebelum perhimpunan UMNO yang dijangka desak PM bubar Parlimen

KUALA LUMPUR, 28 Muharam 1444H, Jumaat – Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan pada 28 Oktober ini akan diadakan lebih awal, lapor The Star.

Ia kini dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober – tiga minggu lebih awal daripada yang dijadualkan.

Kabinet yang bermesyuarat pada Jumaat (26 Ogos), dimaklumkan mengenai keputusan itu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dianggap sebagai petunjuk bahawa pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi.

Pegawai Barisan Nasional (BN) dalam reaksi terhadap berita itu berkata, Parlimen boleh dibubarkan selepas belanjawan dibentangkan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2023 selepas dewan memulakan mesyuarat seterusnya pada 3 Oktober.

Susulan arahan Kabinet, langkah seterusnya ialah memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun yang memerlukan sekurang-kurangnya 28 hari untuk memaklumkan kepada Ahli Parlimen tarikh baharu itu.

Sementara itu, The Straits Times melaporkan, keputusan mempercepat pembentangan bajet dibuat sehari sebelum perhimpunan UMNO di mana parti itu dijangka mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen secepat mungkin.

“Mereka boleh membubarkan Parlimen minggu berikutnya, dan menggunakan habuan yang dijanjikan dalam bajet sebagai manifesto pilihan raya,” kata sumber yang menasihati seorang menteri.

Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran walaupun biasanya sebulan akan diberikan untuk memberi masa kepada calon untuk dicalonkan dan pengundi membuang undi pada hari pengundian.

Pemimpin UMNO dalam kumpulan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak telah lama menyeru agar PRU diadakan secepat mungkin, kononnya untuk memanfaatkan pembangkang yang berpecah-belah setelah memenangi dua pilihan raya negeri dengan dua pertiga majoriti besar pada tahun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button