Berita UtamaDunia

Delhi rancang belanja $600 juta bersihkan pencemaran udara terburuk di dunia

Tukar 80 peratus kepada bas elektrik menjelang 2025

DELHI, 28 Muharam 1444H, Jumaat – Delhi merancang untuk membelanjakan $600 bagi mengelektrik kebanyakan pengangkutan awamnya dalam tempoh tiga tahun.

Tindakan itu bagi meningkatkan kualiti udara di salah satu bandar paling tercemar di dunia.

Negeri di India itu, yang kerap mendahului carta pencemaran udara global, merangka strategi menjadikan 80 peratus bas elektrik menjelang 2025. 

Pihaknya akan menubuhkan lebih banyak stesen pengecasan dan menukar satu perempat daripada bekalan kuasanya kepada solar untuk menangani masalah itu, kata Naib Pengerusi Suruhanjaya Dialog dan Pembangunan kerajaan Delhi, Jasmine  Shah.

Pusat bandar mega India, termasuk ibu kota New Delhi dan hab kewangan Mumbai, memperuntukkan dana untuk membersihkan air dan udara, apabila populasi dan kesan negatif perubahan iklim meningkat.  

Rancangan Delhi adalah selaras dengan sasaran negara Asia Selatan, pencemar ketiga terbesar di dunia, untuk secara beransur-ansur mengurangkan pelepasan berbahaya kepada sifar bersih.

Sokongan belanjawan bukanlah masalah utama, kata Shah kepada Bloomberg Television dalam temu bual pada Khamis.  

Isu terbesar ialah kekurangan kemahuan politik, katanya.  

“Dari masa ke masa, mungkin pada tahun-tahun akan datang, sokongan belanjawan tambahan seperti bon hijau atau kewangan antarabangsa akan menjadi penting,” kata Shah, sambil menambah Delhi sedang membiayai usaha hijau melalui sumber sendiri.

Perdana Menteri, Narendra Modi mengumumkan sasaran pelepasan sifar bersih India menjelang 2070 pada sidang kemuncak COP26 di Glasgow tahun lepas.  

Negara itu, yang menyerahkan komitmen iklim terkininya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan ini, telah mengambil beberapa langkah dasar.

Ia termasuk insentif untuk mengeluarkan kenderaan elektrik dan bateri, pindaan kepada undang-undang penggunaan tenaga, selain mendedahkan pelan hidrogen nasional.

Kenderaan elektrik menyumbang 12 peratus daripada jumlah pendaftaran di Delhi dalam tempoh dua tahun lalu, kata Shah.

Negeri itu telah menyediakan 2,500 titik pengecasan awam, yang tertinggi di India, untuk membantu EV mengecas dengan membayar serendah 3 sen.

Beliau menambah, bahawa Delhi juga telah menutup semua loji kuasa haba untuk membantu meningkatkan kualiti udara. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button