Berita Utama

Keputusan kes Najib matlamat rakyat ketika tumbangkan BN

PH jangan ambil kesempatan kerana idea bongkar isu datang dari Tun M

BANGI, 28 Muharam 1444H, Jumaat – Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes rasuah SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah keinginan dan matlamat rakyat ketika menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Justeru, Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan menyifatkan keputusan itu sebagai sebuah kemenangan yang sepatutnya disambut oleh rakyat Malaysia.

Namun begitu, beliau mengingatkan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengambil kesempatan di dalam kesatuan rakyat terhadap kes penyelewengan terbesar itu.

“Walaupun kesatuan rakyat Malaysia dalam PH berjaya menumbangkan BN, itu bukanlah segala-galanya kerana idea membongkarkan isu ini adalah datang daripada Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kali ini dengan idea yang sama, Tun Dr Mahathir terus mengetuai Gerakan Tanah Air membawa mesej sama membetulkan keadaan negara, menangkap dan membersihkan kepimpinan negara daripada mereka yang korup dan menyalahgunakan kuasa kepada pemimpin yang lebih berwibawa,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada sistem perundangan dan badan kehakiman negara yang berjaya memenangkan kes berkenaan.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button