Berita Utama

Tamatkan operasi judi: Kerajaan Persekutuan wajar ikut langkah Kedah

Ketengah dasar didik rakyat berpandukan agama

BANGI, 9 Jamadilakhir 1444H, Isnin – Kerajaan Persekutuan wajar mengambil langkah seperti kerajaan negeri Kedah menamatkan operasi premis perjudian dan loteri.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, adalah tidak wajar untuk kerajaan berbangga dengan penurunan cabutan undi tetapi premis judi masih dibiarkan membelenggu masyarakat di negara ini.

Beliau mengesyorkan supaya mengetengahkan dasar yang mendidik rakyat dalam neraca manusiawi yang betul berpandukan agama.

“DUPP yakin dan percaya tidak ada dapatan yang menunjukkan aktiviti perjudian boleh membawa masyarakat keluar daripada kepompong kemiskinan. Ia hanya ilusi ibarat sebuah fatamorgana.

“Bahkan, lebih malang aktiviti perjudian sebaliknya membawa kepada keruntuhan moral serta mengganggu keharmonian keluarga dan masyarakat.

“Justeru, pelaksanaan dasar yang tegas terhadap judi wajar dilaksanakan tanpa syarat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan tahniah terhadap kerajaan negeri Kedah di atas ketegasan menghapuskan lesen premis perjudian di negeri itu yang berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Katanya, pelaksanaan dasar itu sekali gus memenuhi sebahagian daripada tuntutan al-Quran sendiri yang mencegah umatnya daripada najis judi.

Menurutnya, tindakan sedemikian menjadikan Kedah negeri ketiga selepas Kelantan dan Terengganu yang menamatkan lesen premis perjudian di bawah kerajaan negeri yang ditadbir oleh PAS.

“Di sebalik pelbagai reaksi yang meragui kemampuan negeri meneruskan kelangsungan akibat penutupan premis judi ini, Kedah mendapat pelaburan tertinggi dalam sejarahnya sepanjang tahun 2021, menghasilkan deretan projek mega berimpak tinggi selain berjaya menghasilkan ratusan ribu peluang pekerjaan di negeri itu.

“Alhamdulillah, satu pintu kerosakan ditutup, jutaan pintu keberkatan dan rezeki yang melimpah ruah dibuka. Inilah tunjang keberkatan daripada Yang Maha Esa, insya-Allah.

“DUPP ingin menyeru Kerajaan Persekutuan supaya turut mempunyai tekad politik yang sama,” katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri Kedah menamatkan sepenuhnya semua operasi premis perjudian dan loteri berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagi memastikan tiada pemilik premis mengingkari arahan itu semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah memantau dan memastikan semua premis perjudian terbabit mematuhi arahan yang diputuskan sejak November 2021 lalu itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button