Berita Utama

LCS: Serah pihak berkuasa siasat dakwaan menteri Bersatu terlibat

Kabinet wajar tubuh RCI siasat skandal lebih menyeluruh: Muhyiddin

BANGI, 28 Muharam 1444H, Jumaat – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan penglibatan menteri dari parti itu di dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau memandang serius penemuan laporan audit forensik mengenai skandal LCS yang antara lain menimbulkan dakwaan pembabitan seorang menteri dari Bersatu.

Katanya, menteri berkenaan juga telah mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan beliau.

“Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip integriti dan ketelusan, Bersatu menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan ini sekiranya berasas.

“Seperti pandangan yang pernah saya lontarkan sebelum ini, Kabinet wajar menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat skandal ini dengan lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Isnin, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek LCS dimiliki isteri kepada salah seorang menteri Kabinet ketika ini iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Berdasarkan semakan katanya, kedua-dua syarikat terbabit iaitu Alizes Marine Limited didaftarkan di Malta dan Alizes Marine Labuan didaftarkan di Labuan, Sabah ‘digunakan’ untuk menjadi pembekal alat-alat ganti kepada projek kapal LCS.

Bagaimanapun, Abd Latiff menafikan bahawa individu bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa terlibat dalam skandal itu adalah isterinya.

Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkata, beliau bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya pihak berkuasa mahu menjalankan siasatan selanjutnya berhubung perkara itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button