Berita Utama

Melayu terima rasuah ditangkap, ‘bapa’ perasuah terlepas?

'Tanya polis, kastam kenapa hingga kini dadah susah sangat dibanteras'

BANGI, 28 Muharam 1444H, Jumaat – Jika rata-rata orang Melayu dan Bumiputera bekerja dalam perkhidmatan awam terutama di jabatan kritikal, maka siapakah yang  menjadi ‘bapa’ perasuah kepada mereka selama ini?

Persoalan itu dibangkitkan pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah sebagai mempertikaikan sikap ultra kiasu yang ‘melatah’ terhadap kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Beliau berkata, ultra kiasu marah sehingga membuat laporan polis apabila Abdul Hadi mendakwa, golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera menjadi kumpulan majoriti perosak politik serta ekonomi negara.

Malah, ultra kiasu menuduh kenyataan itu menyinggung perasaan orang bukan Melayu dan kononnya boleh merenggangkan perpaduan antara kaum.

Tampil mempertahankan kenyataan Abdul Hadi, Prof Ridhuan Tee berkata, beliau tidak melihat pandangan Presiden PAS itu salah kerana jika ramai orang Melayu berada dalam perkhidmatan awam, justeru siapakah pula yang menjadi perasuah mereka?

“Siapakah yang selalu membangkitkan isu-isu sensitif dengan hak istimewa Islam, Melayu dan Bumiputera, kalau bukan ultra kiasu.

“Melayu yang terima rasuah ditangkap. Perasuah besar terlepas begitu sahaja,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas dasar itu, beliau menyokong kenyataan Abdul Hadi dan pada masa sama turut mengalu-alukan ultra kiasu membuat laporan polis.

Bagaimanapun, sebelum laporan polis itu dibuat, Prof Ridhuan Tee menuntut ultra kiasu menjawab beberapa soalan.

“Pertama, siapakah bapa rasuah yang merasuah orang Melayu selama ini terutama pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, bomba, kastam dan imigresen.

“Kedua, projek-projek yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa dan mendapat lesen, siapakah bapa rasuahnya, ketiga kes tanah Musang King dan banyak lagi Tanah Rizab Melayu yang tergadai, siapakah yang merasuah Melayu ini?

“Keempat, dana pilihan raya, siapakah ‘funder’ di belakangnya. Apakah kita ingat ‘funder’ yang memberi dana itu, percuma begitu sahaja. Mesti ada projek besar yang dapat,” dakwanya.

Beliau mendakwa, paling menyedihkan apabila hanya orang Melayu yang menerima rasuah ditangkap, sedangkan ‘bapa’ perasuah terlepas.

“Pergi tanya kepada polis dan kastam, kenapa sehingga ke hari ini susah sangat dadah untuk dibanteras. Siapa yang merasuah pihak berkuasa ini?

“Begitu juga dengan penyeludupan bahan-bahan terlarang. Projek perumahan yang memerlukan kelulusan PBT, siapakah yang menjadi bapa perasuahnya?

“Satu lagi, apakah ultra kiasu bukan perosak jika membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan Islam dan Melayu,” sindirnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button