Berita Utama

Pertahan benteng sosial negara dari gejala LGBT

Gerakan ideologi songsang meresap melalui pelbagai saluran

BANGI, 28 Muharam 1444H, Jumaat – Dewan Ulamak PAS Pusat menyarankan kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia bersatu hati mempertahankan benteng sosial negara daripada pengaruh Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). 

Ketuanya, Senator Ustaz Datuk Ahmad Yahaya berkata, ketika ini dapat disaksikan gelombang penyebaran budaya songsang ini semakin kuat, dengan pelbagai medium dan pendekatan telah dieksploitasi pendukung kelompok ini di peringkat global.   

Langkah negara jiran menguar-uarkan akan menghalalkan perkahwinan sejenis memberikan petunjuk jelas terhadap gelombang budaya songsang tersebut semakin menghampiri kita, katanya lagi.

“Jika satu undang-undang hubungan intim sesama jenis dinyahjenayahkan, maka secara tidak langsung membuka lebih banyak ruang kepada kelompok tersebut untuk terus menapak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, dilaporkan bahawa Singapura akan membenarkan hubungan seks sesama lelaki dan meminda undang-undang berkaitan liwat.

Seksyen 377A dari Kanun Jenayah yang mengatakan semburit atau hubungan jenis sesama lelaki sebagai jenayah akan dimansuhkan.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong berkata, Perlembagaan Singapura juga akan dipinda untuk melindungi takrif perkahwinan, iaitu penyatuan di antara seorang lelaki dan seorang perempuan, daripada dipertikai di mahkamah.

Bimbang dengan perkara itu, Dewan Ulamak PAS Pusat ingin mengingatkan semua pihak bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada tempiasnya. 

Justeru, adalah menjadi kewajipan yang besar supaya sebarang langkah menghalalkan budaya LGBT di negara ini mesti ditolak tanpa syarat dan juga tanpa sebarang kompromi. 

Bahkan, tegasnya, aktiviti songsang yang sedang merebak dalam negara juga wajar dibanteras dengan tegas.  

 “Dewan Ulamak PAS Pusat menegaskan bahawa amalan LGBT merupakan satu kesalahan sebagaimana termaktub dalam Seksyen 377 Kanun Keseksaan (Akta 574) berkaitan jenayah seksual luar tabii. 

“Malah, ia juga merupakan perbuatan kesalahan jenayah di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri selaras dengan ketetapan syariat Islam,” katanya.   

Dewan Ulamak PAS Pusat turut menggesa kerajaan supaya menambahbaik dasar sosial di bawah Pelan Tindakan Sosial Islam 2019-2025 bagi terus mengekang budaya ini daripada menular dan merosakkan keutuhan masyarakat. 

“Kerajaan perlu melihat isu ini secara menyeluruh termasuk menutup ruang-ruang halus penularan budaya LGBT khususnya melalui perkhidmatan penstriman langsung Netflix,” katanya.  

Ahmad juga mengingatkan bahawa gerakan ideologi ini bergerak secara ‘en bloc’ dan meresap melalui pelbagai saluran termasuklah rancangan kanak-kanak.   

“Berdasarkan strategi dan modus operandi, mereka lebih mensasarkan proses re-generasi baharu yang menerima LGBT sebagai sebahagian daripada amalan hidup. 

“Tanpa ketegasan, Dewan Ulamak PAS Pusat bimbang generasi akan datang dirosakkan dengan budaya tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button