Berita Utama

PRU15 bakal saksikan pertembungan pimpinan tertinggi UMNO

Siasat latar belakang calon bertanding, bersih segala skandal

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 28 Muharam 1444H, Jumaat – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini pastinya tidak sama seperti PRU sebelumnya, kata Ketua Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris.

Ini kerana, PRU15 bakal mencatat sejarah negara apabila berlaku pertembungan antara pimpinan tertinggi parti Melayu terutama sekali di dalam UMNO.

“Sesuatu yang tidak terlintas pada mereka yang mengundi lewat tahun 50-an dahulu, apa yang mustahil kini adalah fakta apabila kini UMNO lawan sesama UMNO. 

“Yang berlaga adalah dari bangsa Melayu. Melayu akan melawan Melayu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Malah, dari sudut pandang lain, beliau berpendapat, wujud senario aneh juga apabila parti Melayu lain mengajak rakyat bangkit melawan parti yang dikatakan penuh dengan pemimpin berskandal rasuah, tetapi pada masa sama ia sendiri turut tercalar dengan skandal rasuah.

Rashidi bagaimanapun tidak menamakan mana-mana parti.

“Hari ini, negara dari seluruh dunia sudah tahu sehingga melabelkan Malaysia sebagai negara rasuah.

“Slogan seperti Melayu pemalas dan suka amal rasuah hanya akan memberi impak negatif dan merugikan kerana pengundi akan menolak partinya nanti. 

“Begitu juga mana-mana pemimpin yang pernah duduk di dalam parti rasuah itu juga sebenarnya tidak selamat sebab rakyat tidak lagi boleh diperbodoh-bodohkan. Zaman memperbodohkan pengundi dengan propaganda palsu sudah berlalu,” katanya. 

Beliau berkata, rakyat sudah semakin bijak dan sejarah panjang pengalaman mengundi memilih calon sehingga 14 kali sepatutnya telah mematangkan para pengundi. 

“Undi bukan kerana parti tetapi kewibawaan peribadi calon yang hendak bertanding itu menjadi taruhan untuk rakyat menilai dan memilihnya,” katanya.

Dalam pada itu, PEMBELA mencadangkan supaya semua calon-calon yang hendak bertanding membenarkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat latar belakang mereka.

Katanya, SPR wajar menjadikannya sebagai salah satu daripada syarat bertanding. 

“Calon mestilah bersih dari segala bentuk kemaksiatan dan skandal seperti rasuah dan perempuan.

“Dan mestilah membenarkan kerajaan menyiasat agar calon itu bersih daripada segala yang disebutkan tadi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button