Berita Utama

Vaksin COVID-19: Malaysia kerjasama dengan Russia

MOSTI melalui NIBM tandatangan LoI berkenaan vaksin

KUALA LUMPUR, 4 Safar 1442H, Selasa – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM), telah menandatangani surat hasrat (LoI) dengan Kedutaan Russia untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan vaksin COVID-19.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim berkata, Dana Pelaburan Langsung Russia (RDIF) telah memperoleh hak ekslusif sebagai pembekal vaksin Sputnik V, ke seluruh dunia.

“Sputnik V merupakan vaksin yang dibangunkan oleh ‘Gamaleya National Research Centre of Epidemiology and Microbiology’ iaitu agensi yang sama membangunkan vaksin ‘Middle East Respiratory Syndrome (MERS)’.

“Ujian klinikal fasa 3 Sputnik V dijangka melibatkan peserta seluruh dunia. Perbincangan lanjut akan diadakan dengan Kedutaan Russia berkenaan vaksin itu dalam masa terdekat,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan Senator Datuk Razali Idris yang mahukan penjelaskan tentang pencapaian terkini pasukan khas di bawah MOSTI, bagi meneroka peluang dengan negara lain untuk menghasilkan vaksin COVID-19.

NIBM, katanya juga telah menandatangani LoI dengan Kedutaan Cuba di Malaysia, bagi kerjasama dengan ‘Finlay Vaccine Institute (BioCubaFarma)’ dan ‘Centre of Genetic Engineering and Biotechnology (CIGB)’, Cuba untuk mendapat akses kepada vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan.

Selain itu, MOSTI juga mengambil inisiatif untuk terlibat dalam pertubuhan ‘Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI)’ bagi membolehkan negara mendapat akses kepada pembangunan vaksin, pemindahan teknologi dan kepakaran baharu, kepada penyelidik tempatan.

Ahmad Amzad berkata antara faedah yang diperoleh oleh Malaysia dengan menyertai platform CEPI adalah mendapat keutamaan untuk menyertai ujian praklinikal dan ujian klinikal vaksin baharu, terutamanya apabila berlaku sesuatu wabak.

Selain itu, Malaysia juga akan mempunyai akses kepada data-data penyelidikan dan pembangunan berkaitan penghasilan vaksin yang dibiayai oleh CEPI, termasuk penyelidikan vaksin kumpulan penyelidik Universiti Oxford.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button