Berita Utama

Sedia hadapi PRU15, BERJASA anjur Himpunan Nasional 2022 esok

Turut dihadiri Tun M dan barisan pimpinan Gerakan Tanah Air

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 28 Muharam 1444 – Buat julung kali parti BERJASA akan menganjurkan perhimpunan raksasa dikenali sebagai Himpunan Nasional 2022 di Dewan Tun Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, esok.

Naib Presidennya, Haji Samad Ashaari berkata, himpunan itu bukan sahaja dihadiri oleh ahli BERJASA di seluruh negara tetapi juga barisan pimpinan Gerakan Tanah Air (Tanah Air).

Katanya, hadir sama lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta tokoh-tokoh nasional di dalam negara.

“Kita menjangkakan lebih 3,000 kehadiran dalam perhimpunan penuh sejarah yang julung kali diadakan yang bakal di rasmikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Menerusi himpunan terbesar ini juga kita akan membentangkan impian dan hala tuju BERJASA dalam tempoh 20 tahun akan datang.

“Selain sebagai landasan utama gagasan yang baharu dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Haji Samad menambah, Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim akan menyampaikan ucapan dasar dalam perhimpunan tersebut.

Selain itu, katanya, presiden juga akan membincangkan agenda perjuangan nasib anak bangsa yang semakin tertindas ketika ini.

Katanya lagi, Himpunan Nasional 2022 merupakan isyarat dalam menyatakan kesediaan parti menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.

“Ini merupakan langkah pertama ke arah mengubah landskap politik tanah air selain bersama menjulang Perlembagaan Persekutuan sebagai tiang seri hubungan etnik di negara ini.

“Kami percaya Himpunan Nasional 2022 mampu menjadi wadah untuk menjelaskan tekad perjuangan, khidmat bakti kepada rakyat dan sekali gus ke arah membina semula negara di kedudukan yang sewajarnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button