Berita Utama

Setiausaha Agung MUDA didakwa berhubung perhimpunan LCS

Mahkamah benarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin

KUALA LUMPUR, 28 Muharam 1444H, Jumaat – Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Amir Hariri Abd Hadi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’.

Amir Hariri, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa selaku penganjur telah gagal memberitahu pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang 14 Ogos lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Radzi Shah Ab Razak menawarkan jaminan RM10,000 manakala TPR Fatin Hanum Abdul Hadi memohon supaya syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh agar pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan kes itu.

Peguam Beatrice Chin Yuen Xin yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan antara RM500 hingga RM1,000 dengan alasan anak guamnya tidak bekerja serta tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau selain memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan kes itu.

Seorang lagi peguamnya, Raj Surian Pillai membantah syarat tambahan yang dikemukakan pendakwaan supaya pasport anak guamnya diserahkan kepada mahkamah kerana kesalahan itu boleh dijamin serta tiada risiko tertuduh untuk melarikan diri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Nov untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Turut hadir ke mahkamah, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebelum ini media melaporkan, kira-kira 60 individu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan, mahasiswa, ahli parti politik serta beberapa individu telah berhimpun berkaitan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ pada 14 Ogos lepas.

Susulan itu polis membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan berkenaan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa notis. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button