Berita Utama

Ubat batuk Guaifenesin Syrup tercemar, tak selamat digunakan

Beri kesan cirit-birit, kecederaan teruk pada buah pinggang

BANGI, 10 Syawal 1444H, Isnin – Sirap ubat batuk jenama Guaifenesin Syrup TG Syrup yang tercemar dengan kandungan diethylene glycol dan ethylene glycol melebihi had sepatutnya, memberi kesan berbahaya kepada pengguna.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan melaporkan, ubat batuk yang tercemar dengan dua bahan tersebut boleh mendatangkan kesan seperti cirit-birit, muntah dan kecederaan yang teruk pada buah pinggang.

“Produk yang tercemar ini adalah tidak selamat untuk digunakan terutamanya di kalangan kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan kesan yang serius atau kematian,” katanya.

KKM turut berkongsi, semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menunjukkan jenama produk tersebut tidak ada dalam senarai produk berdaftar di Malaysia.

Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang awam yang menggunakan produk tersebut agar segera menghentikan penggunaannya lebih-lebih lagi jika mengalami sebarang kesan sampingan.

“Orang awam juga digalakkan membuat aduan sekiranya terdapat keraguan tentang kualiti dan keselamatan produk yang digunakan.

“KKM menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamtan, dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin serta akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Amaran mengenai bahaya ubat batuk tersebut dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 25 April lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button