Berita Utama

UMNO mahu saman Malaysiakini, Awani

Dakwa laporan portal fitnah, cipta persepsi negatif pada parti

BANGI, 28 Muharam 1444H, Jumaat – UMNO akan memulakan tindakan saman ke atas portal Malaysiakini dan Astro Awani berhubung laporan yang mendakwa parti itu memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, laporan portal Malaysiakini bertajuk ‘Kata dua UMNO buat PM: Bubar Parlimen atau dipecat’ adalah fitnah dan berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap parti itu.

Justeru, beliau telah menghubungi Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan berbincang dengan peguam UMNO untuk memulakan tindakan saman ke atas Malaysiakini serta Awani hari ini.

“Begitu juga kepada Awani yang turut membuat berita fitnah tempoh hari kononnya Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian UMNO ada mendesak untuk PM campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan SRC.

“Kedua-dua pelaporan fitnah ini langsung tidak bertanggungjawab dan beretika.

“Malaysiakini dan Awani seharusnya mendapatkan atau memetik sumber yang sahih bukan hanya sekadar menyatakan ‘sumber dalaman’ yang tidak berasas hingga mencetuskan persepsi negatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, portal berita berkenaan melaporkan dengan memetik sumber parti itu bahawa mesyuarat Biro Politik memberi kata dua kepada Perdana Menteri sama ada membubarkan Parlimen atau dipecat parti jika tidak berbuat demikian.

Laporan itu menyebut, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid pada Rabu lalu menetapkan empat tuntutan kepada Ismail Sabri – tiga daripadanya berkisar kepada bekas Perdana Menteri yang kini dikenakan hukuman penjara, Datuk Seri Najib Razak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button