Berita Utama

Walau diperlekeh, Zahid Hamidi dakwa UMNO tetap ‘evergreen’

Tak ikut rentak pembangkang lengahkan PRU15 untuk serang parti

BANGI, 28 Muharam 1444H, Jumaat – UMNO tidak akan mengikut rentak pembangkang yang mahu melengahkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya dapat menyusun strategi, mempelbagaikan propaganda dan menambahkan serangan politik terhadap parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi berkata, walaupun ada usaha memperlekehkan parti Melayu itu, UMNO tetap ‘evergreen’ dan terus diyakini rakyat.

Beliau berkata, UMNO bukanlah parti nyamuk yang baharu ditubuhkan, sebaliknya hayat parti itu kini sudah menjangkau usia 76 tahun.

Ahmad Zahid mengakui, sepanjang sejarah panjang itu, ramai ahli dan pemimpinnya yang meninggalkan parti serta memilih menentang UMNO.

“Namun, UMNO tetap teguh walaupun badai politik bergelora. Apabila melihat sejarah dan tradisi UMNO secara meluas dan panjang banyak hikmah dan kebijaksanaan sejarah.

“Mereka yang memilih keluar parti dan menentang politik, hayat politik mereka sangat pendek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zahid yang kini terpalit pertuduhan di mahkamah mendakwa, mereka yang menentang UMNO akhirnya menjadi ahli politik kecewa dan berdengus penuh emosi.

Katanya, UMNO perlu sentiasa bergerak ke depan, menyantuni rakyat dengan dasar realistik dan tidak menjanjikan bulan bintang seperti manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Marilah kita sama-sama mempertingkat azam kita untuk bergerak ke depan bersama UMNO dan tidak goyang walaupun badai politik melanda.

“Jangan bagi ruang seinci pun kepada pembangkang dah sekutu mereka untuk memporakperandakan UMNO,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button