Pendapat

Negara Arab bacul bila berdepan dengan Israel

Sejauh mana peranan PBB jaga kepentingan umat, negara Islam?

KERDILNYA dunia.

Satu dunia tidak mampu mendesak Israel supaya membebaskan seorang wanita Palestin yang sarat mengandung menunggu saat-saat kelahiran di penjara. Badan-badan antarabangsa terutamanya Majlis Keamanan PBB dikatakan gah menjaga keamanan dan kestabilan dunia serata ceruk rantau tidak pernah mencegah kezaliman Israel mengebom negara-negara Arab Islam. Apatah lagi pemimpin negara-negara Islam semuanya bacul dan pengecut bila berhadapan dengan hanya seorang Perdana Menteri Israel yang masih mentah. Perdana Menteri Israel sekarang ini disifatkan masih mentah oleh regu lawan politiknya.

Senario terkini kita dapat lihat betapa baculnya pemimpin negara-negara Islam terutamanya negara-negara Arab terpaksa melutut kepada Israel meraih persahabatan untuk kestabilan dan keselamatan negara masing-masing, walhal Israel hanya diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang masih mentah.

Kewajipan umat perlu menilai semula pemimpin mereka. Begitu juga kewajipan negara-negara Islam menilai semula penyertaan mereka dalam mana-mana institusi antarabangsa terutamanya PBB, sejauh mana PBB berperanan menjaga kepentingan umat Islam dan negara Islam. Negara-negara Islam perlu menilai semula keahlian mereka dalam Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana institusi ini tidak menjaga kepentingan umat dan negara Islam. Mereka hanya ingin mengikiskan harta umat Islam untuk kepentingan mereka berselindung di sebalik slogan-slogan palsu.

Peranan OIC perlu diperkasakan semula supaya bertepatan dengan tujuan penubuhannya. Tiada siapa yang melemahkan OIC melainkan pimpinan OIC sendiri dan pemimpin-pemimpin negara Islam. Malang bagi umat ini melahirkan dan melantik pemimpin yang dayus memimpin mereka. Kelahiran mereka bukan untuk memimpin umat tetapi menjarah harta dan kemewahan.

Mereka perkenalkan sistem pemerintahan yang akan diwarisi oleh keturunan mereka walaupun tidak berkelayakan bahkan dikenali dengan buruk akhlak. Beginilah yang terjadi di sebahagian besar negara-negara umat Islam terutamanya negara-negara Islam Arab.

Ustaz Sharipudin Abdul Kadir
Ketua Perhubungan (ISMA) Kelantan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button