Berita Utama

Jangan takut! Tun M ajak orang bukan Melayu sokong Tanah Air

Pentadbiran Melayu yang adil turut beri manfaat kepada bangsa lain

BANGI, 29 Muharam 1444H, Sabtu – Orang bukan Melayu tidak perlu risau dengan kehadiran Gerakan Tanah Air (Tanah Air) dalam demografi politik negara.

Meskipun gerakan tersebut ditubuhkan khas bagi membela nasib orang Melayu yang semakin tersisih di tanah air sendiri.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, sejarah menyaksikan bagaimana pemerintahan orang Melayu yang adil memberi manfaat besar kepada kaum lain.

“Kita sanggup kongsi negara kita dengan orang lain tetapi perkongsian itu hendaklah secara adil, kita (orang Melayu) hanya meminta bahagian kita sahaja.

“Kaum-kaum lain tidak perlu takut kepada gerakan kita walaupun gerakan kita ini terhad kepada orang Melayu sahaja.

“Tak perlu takut kerana kita lihat pemerintahan orang Melayu memberi kejayaan kepada orang bukan Melayu juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Impian Nasional 2040 oleh parti BERJASA, hari ini.

Yang turut hadir Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim dan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Dr Mahathir sekali menegaskan, Tanah Air bersifat eksklusif kerana tidak kerjasama dengan individu perasuah, penyagak dan mereka yang tamakkan kuasa.

Katanya, gerakan ini bukan pemecah orang Melayu sebaliknya berusaha kuat mencantumkan penduduk majoriti yang mencakupi 70 peratus rakyat di Malaysia.

Oleh disebabkan itu, katanya lagi, Tanah Air tidak menamakan calon Perdana Menteri demi menjaga keharmonian dalam matlamat memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Perjuangan untuk menjayakan orang Melayu adalah sama dengan perjuangan untuk menjayakan agama Islam.

“Hilang Melayu, lumpuh Melayu di negara ini bermakna bahawa Islam juga akan hilang, akan lumpuh,” katanya.

Dalam masa sama, beliau yakin Tanah Air diterima rakyat khusus bagi mereka yang kecewa dengan senario politik mementingkan duit poket sendiri sahaja.

Katanya, mereka yang menyertai Tanah Air adalah pejuang bumi Melayu yang dimerdekakan melalui keringat dan titisan darah orang terdahulu.

“Kita mahu Malaysia ini jadi sebuah negara yang cantik, yang ditadbir dengan baik, yang lurus, yang tidak dikuasai oleh perasuah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button