PH ‘kerajaan mi segera’ dakwa Presiden PAS
Bercelaru, alpa masalah yang patut diutamakan

BANGI, 29 Muharam, 1444H, Sabtu – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa, Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dipenuhi kecelaruan dan kegopohan, selain menyifatkannya sebagai ‘kerajaan mi segera’.
“PH kerajaan yang gopoh dan ‘kerajaan mi segera’. Masaknya segera, banyak hal-hal mentah, hingga ia terpaksa dijatuhkan. Ketika PH mengambil alih kerajaan, mereka bercelaru.
“Sudahlah kerajaan mi segera, tidak masak, berlaku pula krisis berebut nak jadi Perdana Menteri, menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan PN sebelum ini ditubuhkan secara demokratik pada Mac 2020, bukan menerusi ‘pintu belakang’.
Katanya, Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum itu keluar daripada UMNO dan PH, bersama parti lain seperti PAS serta parti dari Sabah, Sarawak dan UMNO membuat perubahan kerajaan secara demokratik.
“Kita mengambil alih dalam keadaan teratur, tiada darah yang tumpah, tiada demonstrasi, tak bergaduh rakyat dengan polis.
“Perubahan sangat hebat yang kita lakukan. Tak berlaku krisis berebut (jawatan) PM,” katanya.