Berita Utama

Kerajaan belum sedia, Tun M yakin PRU15 bukan tahun ini

BN tidak buat keputusan bersama kerana sudah berpecah?

Oleh Zuhayati Yazid

KUALA LUMPUR, 29 Muharam, 1444H, Sabtu – Pilihan Raya Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan diadakan dalam masa terdekat walaupun terdapat pelbagai desakan dibuat.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (Tanah Air), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan masih belum bersedia dan masih mencari ‘slot’ yang sesuai untuk mereka diterima rakyat bagi membolehkan menang selesa.

“Saya percaya PRU15 bukan sebelum pembentangan belanjawan dan secara peribadi saya tidak jangka pada tahun ini tetapi kita tidak tahu kenapa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahukan pilihan raya tahun ini.

“Mungkin sebab dia berdepan kes perbicaraan mahkamah untuk jenayah yang dia lakukan tetapi saya fikir Perdana Menteri tidak berapa setuju sebab jika PRU15 diadakan dia akan hilang jawatan.

“Jika Barisan Nasional menang pun, Ismail Sabri tidak akan menjadi Perdana Menteri lagi, jadi dia mungkin seronok menjadi Perdana Menteri sekarang dan mahu terus kekal selama mungkin memegang jawatan tersebut,” dakwanya dalam sidang media selepas menghadiri Himpunan Nasional 2022 anjuran BERJASA, hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, Barisan Nasional (BN) kini berdepan masalah dalaman dan masih tidak boleh membuat keputusan bersama.

“Mereka kini sudah berpecah dan ada pemimpin yang mahu PRU15 dilaksanakan bagi menyelamatkan kedudukan masing-masing.

“Saya fikir mereka gagal capai kata sepakat, mereka juga dalam keadaan tidak yakin dengan perjuangan mereka kerana sudah menyeleweng,” dakwanya.

Ditanya mengenai perjalanan selepas PRU15, bekas Perdana Menteri itu menjangkakan, tiada mana-mana parti akan memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.

Katanya, parti yang memenangi paling banyak kerusi Parlimen pada PRU15 akan mengadakan kerjasama dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan.

“Saya yakin, kali ini (PRU15) tiada parti yang boleh menang lebih 50 peratus kerana bukan dua parti sahaja bertanding, sekarang banyak parti yang seronok mahu jadi Perdana Menteri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button