Berita Utama

BERJASA tampil enam teras bentuk negara unggul, bermaruah menjelang 2040

Mahu negara ditadbir ikut acuan sendiri tanpa pemikiran penjajah

Oleh Zuhayati Yazid

KUALA LUMPUR, 29 Muharam, 1444H, Sabtu – BERJASA mengemukakan enam teras utama dalam membentuk negara unggul dan bermaruah yang perlu dipegang oleh pimpinan Melayu Islam.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, enam teras berkenaan merupakan dokumen menggambarkan ciri-ciri Malaysia unggul dan bermaruah yang akan dijadikan sebagai panduan dalam merangka segala gerak kerja pada masa hadapan.

“Teras berkenaan terdiri daripada identiti nasional dan perpaduan, Perlembagaan dan perundangan, politik dan kepimpinan, ekonomi dan sara hidup, pendidikan dan juga teknologi.

“Kita mahu melahirkan masyarakat majmuk unggul memahami identiti nasional bertunjangkan jati diri Melayu dan tidak menolak keunikan adat dan budaya lain di negara kita.

“Begitu juga dalam dalam Perlembagaan dan perundangan perlu menzahirkan prinsip negara seperti termaktub di dalam Perlembagaan iaitu kesamarataan manusia di hadapan undang-undang tanpa mengira darjat, pangkat atau status harta,” katanya ketika berucap sempena Himpunan Nasional 2022, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ustaz Zamani berkata, Malaysia sebagai sebuah negara unggul perlukan Perlembagaan sebagai tunjang utama sistem dan tadbir urusnya.

“Kita tidak mahu melihat situasi Ah Lim, Ajib atau Rama yang terbukti bersalah melalui sistem perundangan negara menerima sebarang kekebalan atas sebab kedudukan. Keadilan perlu diberikan kepada semua ahli masyarakat tanpa sebarang kompromi.

“Begitu juga dalam politik yang mahukan kepimpinan yang unggul selain diacu dengan acuan kita sendiri dan bebas daripada pemikiran penjajah.

“Sistem pemerintahan akan bertunjangkan prinsip dan nilai-nilai murni yang lahir dari jati diri dan identiti nasional, begitu juga dalam bidang ekonomi akan dipacu dengan acuan sendiri oleh tenaga kerja yang berpengetahuan dan kemahiran tinggi,” katanya lagi.

Malah, katanya, campur tangan atau keistimewaan pihak tertentu dalam perundangan yang bertentangan dengan Perlembangan wajib dihapuskan dan rakyat akan boleh hidup bahagia selain memiliki kehidupan lebih harmoni.

“Begitu juga dalam impian kita dalam politik, landskap politik negara ini akan bertukar secara keseluruhan dengan mengamalkan konsep politik matang dan integriti tinggi,” katanya.

Ustaz Zamani yakin Malaysia mampu memacu untuk berdiri di atas kaki sendiri dan bebas bergantung dengan kuasa besar.

“Begitu juga dalam teras pendidikan dan modal insan yang mampu melahirkan modal insan yang bersatu, integriti dan berdaya saing dan negara akan mencapai kesatuan melalui dasar pendidikan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button