Isu bantahan konsert dan rasuah tiada kaitan: Pemuda PAS
Islam agama Persekutuan dan ianya perlu dihormati

BANGI, 29 Muharam, 1444H, Sabtu – Tindakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengaitkan isu bantahan konsert artis antarabangsa dengan rasuah disifatkan tersasar dan tidak munasabah.
Terdahulu, Ahli Parlimen DAP itu menggesa Pemuda PAS menganjurkan protes di seluruh negara terhadap rasuah dan bukannya konsert artis antarabangsa.
Santiago berkata, lebih baik jika usaha penentangan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dibuat untuk membantah rasuah, dengan memetik isu projek kapal tempur pesisir (LCS).
Ia selepas Ahli Parlimen Pasir Mas itu menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk menggerakkan tentangan di seluruh negara jika perkara tersebut tidak diendahkan.
Dalam satu kenyataan, Ahmad Fadhli menegaskan bahawa isu bantahan konsert artis antarabangsa dengan rasuah tiada kaitan.
“Adalah agak tidak munasabah jika anda ingin makan roti canai, tiba-tiba bermaksud anda tidak suka nasi lemak. Apabila anda tidak suka nasi goreng, tiba-tiba secara automatik adakah anda penggemar nasi beriani?
“Oleh itu YB Ahli Parlimen Klang, saya fikir ‘argument’ tuan agak tersasar. Dalam isu konsert, secara jujur ingin saya nyatakan, masyarakat non muslim tidak perlu rasa terganggu sangat, perbincangan boleh dibuat,” katanya.
Dalam hal ini, beliau berkata, perkara yang menjadi kebimbangan adalah ramai yang hadir juga terdiri daripada remaja muslim.
Katanya, Malaysia ialah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan ia perlu dihormati.
“Dengan penuh hormat, jika anda ingin adakan protes isu LCS, silakanlah, kami tiada halangan. Adakah anda meminta kami adakan protes kerana anda sudah tidak cukup ahli untuk lakukannya?
“Dengan penuh hormat tuan, mari kita berbincang,” katanya.