Jet Zionis bedil kemudahan penyelidikan Syria
Serangan peluru berpandu, bom rosakkan peralatan kemudahan

SANAA, 29 Muharam, 1444H, Sabtu – Tentera Russia yang berpangkalan di Syria melaporkan, empat jet rejim pengganas Israel melancarkan sekurang-kurangnya empat peluru berpandu jelajah dan 16 bom udara terhadap kemudahan penyelidikan di bandar Masyaf pada Khamis.
Agensi berita Russia, Tass dan RIA memetik seorang pegawai kanan sebagai berkata, tentera Syria menggunakan senjata antipesawat buatan Russia bagi menembak jatuh dua peluru berpandu dan tujuh bom.
Katanya, serangan itu merosakkan peralatan di kemudahan berkenaan.
Tentera Russia kekal di Syria sejak 2015 apabila mereka membantu mengubah arus dalam perang saudara yang memihak kepada Presiden Bashar al-Assad.
Selama beberapa tahun, Israel melancarkan serangan ke atas apa yang disifatkannya sebagai sasaran berkaitan Iran di Syria, di mana tentera yang disokong Tehran, termasuk Hizbullah Lubnan, telah dikerahkan untuk membantu Assad memerangi pasukan antikerajaan. – Agensi